UKM Tubuhkan Pusat Pengajian Siswazah di Yaman
Khamis, 23 Disember 2010 18:18
Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 23 Dis, 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang menubuhkan sebuah Pusat Pengajian Siswazah di Yaman bersama dengan Universiti Sains dan Teknologi Yaman – kali pertama UKM menjalankan program pendidikan 100 peratus di luar negara.
Ini adalah berikutan kejayaan program sulung pascasiswazah bidang perubatan masyarakat membabitkan 12 profesional anak watan Yaman yang menerima ijazah sarjana mereka, lewat bulan lalu, kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Ir Hasan Basri.
“Kita bermula dengan perubatan dan bercadang meluaskan program ke bidang Makanan dan Pemakanan, Pentadbiran Perniagaan, Sains Komputer, Teknologi dan Sistem Pembuatan di Fakulti Perubatan dan kemudian kelak hingga ke peringkat PhD.
Dalam satu temu ramah dengan Portal Berita UKM, Prof Hasan berkata perincian mengenai program itu dari segi perundangan dan kewangan sedang dirundingkan dan sudah sampai ke peringkat akhir. Ia akan diserah kepada pihak Pengurusan Tertinggi UKM dan mungkin Kementerian Pengajian Tinggi.
“Yaman telah memilih UKM setelah melihat Malaysia berjaya mewujudkan satu sistem pendidikan tinggi yang diterima di pesada dunia.
“Ini terbukti daripada rangking yang diterima oleh UKM. Walaupun kita tidak berada dalam lingkungan 100 universiti teratas namun UKM tetap berada pada kedudukan antara 300 teratas di dunia,” katanya.
Prof Hasan berkata bahawa semua program penting yang dikendalikan UKM seperti kejuruteraan telah diberi akreditasi di bawah Perjanjian Washington Accord.
Ini membolehkan ijazah sarjana muda kejuruteraan UKM diiktiraf di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia dan banyak lagi negara membangun.
“Pihak Yaman melihat ini sebagai pertanda betapa program dikendalikan oleh UKM telah diterima di peringkat dunia.” Persaingan dari negara maju bagi program sedemikian tidak ada kerana mereka tidak berminat melabur di negara membangun seperti Yaman.
Semua program pengajian diajar dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa kerja antarabangsa dan ini adalah satu tarikan kepada mereka.
Apabila mendapat kelulusan diperlukan, program itu bakal dimulakan dengan pengambilan bagi kursus pengajian peringkat sarjana Pemakanan mungkin pada pertengahan tahun depan atau setidaknya pada September sebagaimana amalan bagi permulaan pengajian di peringkat antarabangsa. Ini akan diikuti dengan pengajian bagi Sarjana Pentadbiran Perniagaan pula.
Pengajian dijangka berlangsung selama dua tahun untuk 20 orang pelajar bagi satu kelas.
Beliau menjangka mendapat sambutan baik terhadap semua program kerana Yaman kekurangan universiti yang menawarkan program sarjana dan PhD. Mereka kini hanya mula melahirkan graduan di peringkat sarjana muda yang sedang belajar di luar negara.
Datuk Hasan berkata jalinan kerjasama dengan negara membangun seperti Yaman adalah dalam rangka semangat untuk membantu sesama negara Islam membangunkan ummah.
“Di samping itu pensyarah kita juga berpeluang melakukan ibadat haji dan umrah ketika berkhidmat di Yaman kerana jarak dekat dengan tanah suci,” katanya.
Segala keperluan dan kemudahan diperlukan oleh pensyarah UKM yang berkhidmat di Yaman akan diberi perhatian sewajarnya terutama di segi pemberian elauns, kata Prof Hasan.
UKM pernah menjalankan program pengajian di luar negara tetapi ia adalah dengan kaedah separuh pengajian jarak jauh iaitu pensyarah tidak semestinya mengajar di tempat pelajar berada tetapi menyelia dan menyampaikan kuliah dari kampus di Bangi.
Pengajaran dilakukan dengan menggunakan kemudahan video conferencing manakala dalam soal hubungan pensyarah-pelajar khususnya kerja-kerja penyeliaan tugas dipermudahkan dengan penggunaan e-mel dan juga melalui internet.
“Kaedah ini pernah kita lakukan dengan beberapa buah universiti di Indonesia seperti Universitas Airlangga iaitu menggunakan video conference bagi kuliah manakala bagi Universiti Lal pula kita gunakan kaedah blended learning iaitu campuran di antara bersemuka dengan secara elektronik,” katanya.