Kriket: UKM tekad kekal juara
BANGI, 16 Julai, 2010 – Pasukan Kriket Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertekad mengekalkan kejuaraannya dalam Kejohanan Kriket Undangan Universiti Antarabangsa 2010 dari 29 Julai hingga 5 Ogos ini.
Ia menjangka akan diberi tentangan hebat oleh pasukan dari The University of Western Australia dengan kumpulan pemainnya yang dilatih di bawah rancangan Pusat Sukan Cemerlang negara itu.
Pegawai penyelia kriket UKM, Encik Fairus Shafie, memberitahu berikutan kemenangan pasukan UKM dalam kejohanan antara universiti Asia tahun lalu, mereka telah menjalani latihan lebih giat sejak awal bulan ini untuk mempertahankan kejuaraannya itu.
“Kita juga diwakili pemain purata berusia 18 tahun yang boleh dikira adalah pelapis pasukan kriket UKM yang merupakan Pusat Kecemerlangan Sukan Kriket. Malah lapan daripada 20 pemain kita adalah pemain skuad kebangsaan,” katanya.
Selain Australia, UKM akan berdepan pasukan dari National University of Singapore; University of Colombo, Sri Lanka dan Christ University, India dalam kejohanan menawarkan RM4,800 kepada juara, RM3,200 untuk tempat kedua and RM2,560 bagi pemenang ketiga.
Pertandingan kali kedua itu dijangka disertai oleh 200 atlet dan pegawai dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia. Ia akan diadakan di Oval Kriket UKM, Oval Kriket Kinrara, Puchong dan Oval Kriket Bayuemas, Klang.
Antara pemain dalam skuad UKM adalah Ahmad Faiz Mohamed Noor, Mohd Shafiq Mohd Sharif, Aminuddin Ramly, Mohd Farouk Hakimin, Nik Azril Nik Arifin, Mohd Shahrulnizam Yusof, Suhan Kumar, Derek Michael Durais dan Faris Almas-lee.