Membina hubungan antara UKM dengan industri
JUMAAT, 23 JULAI 2010 09:36
Oleh abdul Ghani Nasir
BANGI, 22 Julai 2010 – Wakil daripada 18 buah syarikat dan perusahaan di Bandar Baru Bangi hari ini buat julung-julung kalinya menghadiri satu majlis membina jalinan perhubungan di antara UKM dengan industri.
Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr Saran Kaur Gill dalam ucapan aluannya antara lain menekankan pentingnya usaha membina jalinan dan perkongsian pengetahuan di antara industri dengan universiti.
Hubungan itu berjaya apabila wujud persefahaman dan saling hormat menghormati keperluan dan kehendak satu sama lain dengan matlamat mewujudkan perkongsian meliputi penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan.
“Membina perkongsian strategik dengan industri yang relevan adalah satu langkah penting yang akan memudahkan pengaliran dua hala kepakaran dan sumber di antara rakan kongsi.
“Industri boleh mendapat faedah melalui keupayaan penyelidikan universiti dan pengambilan pelatih yang mahir dan juga graduan.
“Universiti pula mendapat faedah melalui penyertaan dalam penyelidikan berasaskan industri dan sumbangan kepakaran kepada kurikulumnya,” kata belilau.
Turut hadir pada majlis di Puri Pujangga itu adalah dekan dan wakil pelbagai fakulti UKM. Wakil industri yang hadir termasuklah dari Sony, Hitachi, Pharmaniaga, Padini Holdings, Meditop Corporation, CIMB Bank dan Derubayo Sdn Bhd.
Mereka kemudian diraikan dengan jamuan makan tengah hari.