Pelajar global anjur persembahan kebudayaan

ISNIN, 26 JULAI 2010 14:27

Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 23 Julai 2010- Seramai 43 pelajar antarabangsa yang mengambil bahagian dalam program perkongsian mobiliti Global UKM Kedua, mempersembahkan pelbagai tarian dan mengalun lagu Malaysia sebagai menandakan tamatnya  kehadiran mereka di sini.
 

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut hadir merasmikan penutupan program itu di UKM, Jumaat lalu.

Rancangan itu menemukan pelajar dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Mexico yang menyertai 35 pelajar tempatan untuk mengalami pelbagai corak dan aspek kehidupan rakyat berbilang kaum Malaysia.

Ia terdiri daripada dua modul berasingan yang memberi tumpuan kepada Warisan Tropika Lestari dan Masyarakat Orang Asli Malaysia.

Ia menarik lebih ramai peserta kali ini berbanding 29 pelajar tahun lalu. Program sebulan itu bermula pada 28 Jun dipenuhi dengan syarahan dan lawatan ke kawasan luar kampus yang pasti membuka mata dan meluaskan fikiran peserta.

Ia adalah adunan kehidupan di sekitar kampus dan liku-liku eko-sistem yang pelbagai bentuk. Mereka juga diberi peluang mengalami sama cara Orang Asli menjalani kehidupan.

Para peserta dibawa melawat Tasik Chini, Langkawi, Gunung Kinabalu, Pulau Carey, Taman Negara dan beberapa pulau di perairan Sabah. Semua peserta dan beberapa penganjur turut mendaki Gunung Kinabalu di Sabah, gunung tertinggi di Asia Tenggara. 

Program itu bertujuan menggalakkan kerjasama di antara universiti dan memberi pendedahan kepada pemimpin-pemimpin  masa depan menyedarkan mereka kepada pembangunan lestari, pengekalan persekitaran dan menghormati Orang Asli dan turut belajar daripada mereka.

Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata program itu bukan saja mempamer dan mengongsi warisan himpunan pepohon dan pelbagai budaya Malaysia yang kaya dan unik dengan orang lain, tetapi juga memberi peluang kepada orang muda daripada latar belakang berbeza untuk berinteraksi dan memahami satu sama lain dan menyedari hakikat mereka berkongsi  nasib yang sama dalam mewarisi dunia ini.

Beliau berharap program itu akan mewujudkan generasi masa depan yang lebih prihatin terhadap persekitaran mereka lantas mampu menghargai kepelbagaian budaya.

“Adalah menjadi harapan program ini akan melahirkan pemimpin hari esok yang bertanggungjawab terhadap bumi dengan mengekalkan kelestarian bumi demi menjadikannya tempat lebih baik untuk semua manusia hidup secara harmoni sesama insan di samping dengan alam.”

Program itu memberi peserta pengalaman melihat dan mendampingi eko-sistem yang pelbagai, suku kaum asli dan tanah bencah. Ramai peserta berkata program itu adalah di luar jangkaan mereka.

Salah seorang pelajar terlibat, Atsumi Shibata dari Universiti Toyo, Jepun mendapat tahu mengenai program mobiliti itu daripada penyelia beliau dan memutuskan untuk mendaftar. 

Dia melakukan kerja sambilan untuk membiayai  penyertaannya.  Beliaulah saja peserta yang membiayai sendiri belanja penyertaannya.

“Saya bekerja keras untuk menyimpan wang secukupnya bagi membolehkan saya menyertai program ini. Di Jepun terdapat hanya satu bangsa saja dengan semua rakyatnya hanya terdiri dari bangsa Jepun. Lantas kita tidak terdedah kepada budaya lain. Program ini memberi saya pengetahuan mengenai eko-sistem dan sebagainya, tetapi paling penting saya dapat menemui orang daripada pelbagai budaya dan latar belakang,” kata Atsumi.