UKM akan tingkatkan pengambilan pelajar siswazah berbanding pra-siswazah pada nisbah 50:50 menjelang 2015

SELASA, 06 JULAI 2010 17:46

Oleh Shahfizal Musa

BANGI,  6 Julai 2010 —  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan meningkatkan pengambilan pelajar siswazah berbanding dengan prasiswazah  untuk ijazah pertama pada nisbah 50-50 menjelang tahun 2015.  Ini adalah sejajar dengan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan.

Dalam usahanya memenuhi hasrat itu pengambilan pra-siswazah tahun ini telah dikurangkan sebanyak 10 peratus, ia itu seramai 3635 pelajar berbanding dengan pengambilan tahun lalu, kata Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Kemasukan pelajar baru itu termasuk 85 orang dari luar negara.

Prof Sharifah Hapsah memberitahu satu sidang akhbar setelah bergaul dengan pelajar-pelajar baru yang mendaftar pada hari Ahad, bahawa UKM juga telah melakukan beberapa perubahan dari segi program yang ditawarkan dengan mengurangkan kemasukan dalam bidang sains sosial.

Bagaimana pun kemasukan dalam bidang perubatan, sains kesihatan dan kejuruteraan tidak dikurangkan.

Beliau berkata: “kita perlu seimbangkan kadar 60 peratus untuk pengajian aliran sains dan 40 peratus dari aliran sastera. Ini adalah satu formula yang diamalkan UKM untuk memastikan jumlah graduan yang dikeluarkan selari dengan keperluan negara di masa akan datang”.

Prof Sharifah Hapsah menyeru agar semua pelajar yang terpilih datang untuk mendaftar. Beliau tidak mahu ada yang ketinggalan dalam menimba ilmu kerana kesempitan kewangan.


UKM akan bantu pelajar kurang berkemampuan, Naib Canselor

“Kita mempunyai dana untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Saya harap tidak ada yang ketinggalan kerana kesempitan kewangan, kita akan cuba membantu mereka,” kata beliau.

Hari pertama dalam kampus melihatkan berbagai ragam dan riak muka siswa yang mendaftar. Ada yang kelihatan gemuruh dan ada yang begitu gembira, tetapi kesemua mereka mempunyai satu persamaan, iaitu mereka adalah segelintir yang telah terpilih untuk menyambungkan pelajaran mereka di UKM daripada puluhan ribu yang memohon.

Mereka yang terdiri daripada semua peringkat masyarakat datang dari seluruh pelusuk negara.

Di tanya mengenai kejadian buli atau ‘ragging’ yang selalu di lakukan oleh pelajar senior dan adakah ia masih berlaku di UKM, beliau berkata:

“Kenapa nak buli, kami mengalu alukan kedatangan mereka. Budaya ‘ragging’ ini adalah budaya lama, kita tidak benarkan apa-apa tindakan yang memalukan dan menjatuhkan maruah seseorang. Tindakan tegas akan di ambil ke atas mereka yang didapati melakukan perbuatan seperti itu, ada banyak cara lain untuk mereka berkenalan antara satu sama lain,”

Mengulas fenomena kemasukan lebih ramai siswa wanita berbanding lelaki di semua universiti awam termasuk UKM beliau memberitahu bahawa tahun ini kemasukan siswa lelaki di UKM telah bertambah kepada 32% berbading hanya 30% tahun lalu.

Taraf kemasukan

Lelaki

Perempuan

STPM

512

872

Matrikulasi

479

1326

Diploma

76

195

Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

31

44

Pelajar Dewasa

7

8

Pelajar Antarabangsa

52

33

Walaupun hari ini adalah hari yang bersejarah bagi 3635 pelajar tersebut, namun hanya segelintir yang benar-benar tahu apa yang mereka mahu lakukan dengan hidup mereka selepas tamat pengajian. Manakala yang lainnya pula tidak pernah fikirkan kareer dan bidang yang mereka ingin ceburi selepas tamat pengajian.

Naib Canselor menekankan para kauselor di peringkat pusat pengajian harus memainkan peranan dalam membantu para pelajar memilih bidang pengajian yang mereka minat.

“Kadang-kadang mereka memohon bidang perubatan dan kesihatan mereka mungkin dapat bidang teknologi maklumat tetapi mereka masih berada dalam aliran kumpulan sains. Saya fikir kaunselor di sekolah boleh memainkan peranan, bila pelajar memohon mereka mesti tahu bidang tersebut dan peluang pekerjaan. Jadi kaunselor di sekolah mesti tahu tengtang kursus yang ditawarkan supaya mereka dapat membimbing pelajar memilih kursus yang betul,” katanya.

Hari pendaftaran tersebut berjalan lancar dan kelihatan pemandangan nostalgik apabila mendapati sesetengah pelajar bersalaman dan mencium tangan ibu bapa mereka memohon restu.

Namun bukan semua pelajar yang bernasib baik untuk diiringi oleh ibu bapa. Seorang dari padanya ialah Hirza Ahmadi dari Indonesia yang akan mingikuti pengajian jurusan ekonomi.

“Saya mendapat biasiswa dari kerajaan Indonesia dan di syorkan untuk meyambung pengajian di UKM, saya merasa gembira walaupun jauh dari keluarga, saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini,” kata Hirza.

Seorang lagi pelajar Nurulaina binti Abdullah, dari Taiping yang akan mengikuti kursus Bio-Perubatan berkata: “ pagi tadi saya berasa sedih kerana akan meninggalkan keluarga, tetapi selepas pendaftaran saya merasa seronok dengan suasana di sini.”

Berbeza dengan Amirull Ahmad yang telah lama berimpian untuk belajar di UKM. Beliau berkata: “UKM adalah pilihan saya, dan saya bersukur kerana impian saya telah tercapai, saya memilih UKM walaupun jauh dari bandar tetapi saya suka suasana di sini. Bagi saya UKM adalah salah satu universiti terbaik di Malaysia” kata Amirul pelajar Media Massa.

Kesemua pelajar akan menjalani berbagai program yang telah di rancang untuk mereka menyesuaikan diri di UKM.