Kem Perkasa Remaja berjaya ubah sikap Mat Rempit
SELASA, 29 JUN 2010 08:33
Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 28 Jun, 2010 — Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulih dan mengubah tabiat negatif belia menjadi insan berkeyakinan tinggi mencapai kejayaan selaras hasrat kerajaan mengurangkan masalah sosial.
Sumbangan UKM melalui Kem Perkasa Remaja setakat ini amatlah besar ertinya kepada Malaysia, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Berucap merasmikan penutup Kem Perkasa Remaja Sesi 1/2010 di UKM hari ini, beliau memuji kejayaan UKM memulihkan 33 orang belia melalui pembangunan emosi, kerohanian dan intelektual menggunakan pendekatan holistik.
Modul latihan dilalui bekas Mat Rempit itu diolah oleh pakar-pakar bidang psikologi menggunakan pendekatan intervensi berasaskan data.
“Sebagai Penaung Permata Negara, bukan saja golongan cerdik dan pintar perlu diberi penekanan malah saya rasa bertanggungjawab untuk sama-sama membantu remaja khususnya mereka yang terjebak dalam masalah sosial.
“Jika mereka ini terus dibiarkan tanpa dibimbing, saya khuatir suatu masa nanti mereka akan terjebak dalam aktiviti yang negatif dan menjadi golongan yang berisiko tinggi terlibat dalam aktiviti anti-sosial,” katanya.
Selepas menjalani program Kem Pemerkasaan Remaja itu selama empat bulan dari Mac mereka akan mengikuti kursus di IKBN dan Giat Mara.
Semua peserta turut mengikuti program sangkut di Outward Bound School (OBS) dan Akademi Binaan Malaysia dengan seorang peserta telah pun diambil bekerja sebagai pembantu pengajar di OBS dan seorang lagi telah diambil bekerja sebagai pengajar dengan syarikat Motocycle Riding.
Datin Seri Rosmah melahirkan harapan agar selepas menjalani latihan kemahiran itu, remaja terbabit akan menjadi orang yang berjaya dan membanggakan keluarga.
“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, justeru pelaksanaan Kem Perkasa memberikan mesej dalam apa jua inisiatif untuk remaja, matlamat akhirnya adalah untuk memberikan mereka kemudahan dan kesenangan supaya mampu berdikari selain dari meninggalkan aktiviti tidak berfaedah.
“Pendekatan ini mengubah paradigma melihat remaja sebagai bermasalah kepada ahli masyarakat yang mempunyai modal sosial yang berpotensi,” tegasnya.
Isteri Perdana Menteri memuji cara pakar UKM mendekati remaja itu melalui kem 1-5 dengan mengumpul data-data psikologi dan fisiologi bagi tujuan pemulihan.
Misalnya pengambilan spesimen air kencing dan air liur untuk melihat tahap hormon dalam badan peserta manakala kem-kem lain pula mengkaji perubahan psikologi individu dalam aspek penghargaan diri, ketahanan, asertif, komunikasi, pengurusan perasaan marah dan kepemimpinan.
Data kajian menunjukkan peserta ada tahap ketahanan diri yang sederhana hingga mungkin menjadi sebab mereka terjebak dalam aktiviti merempit.
Majoriti pula menunjukkan tahap penghargaan diri yang tinggi (78%) dan juga tahap kepimpinan yang tinggi (82%) serta bersikap asertif (55%) selepas menjalani program itu.
Mereka ini didapai sememangnya sukakan aktiviti luar dan berkumpulan di mana mereka mempamerkan komitmen dan kerjasama yang tinggi dalam apa juga aktiviti.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin mengumumkan UKM telah memantapkan program membantu remaja itu dengan menubuhkan Pusat Pemerkasaan Remaja.
“Ahli Pusat itu akan membuat analisis hasil ujian kedua atau pasca kem. Berdasarkan analisis ini UKM akan memajukan syor bagi tindakan selanjutnya. Dengan cara ini kita akan bersama-sama menangani masalah salahlaku remaja secara saintifik.
Dr Sharifah Hapsah menjelaskan pelaksanaan Kem Perkasa itu menunjukkan UKM melibatkan diri secara aktif untuk sama-sama meningkatkan keupayaan sosial golongan remaja itu khusus untuk mencungkil potensi diri mereka yang sebenar.
Peserta kem terdiri daripada remaja di sekitar Shah Alam dan Rawang berumur antara 18 hingga 25 tahun.
“Program ini merupakan intervensi berkonsepkan kem, khusus bagi memulihkan remaja yang terlibat dengan aktiviti merempit yang mungkin dikaitkan dengan lumba haram, ragut, gangsterisme, dadah, seks bebas dan aktiviti jenayah lain.
“Bukan semua remaja bermotosikal terlibat tetapi mungkin segelintir yang ingin berseronok saja. Stigma inilah yang kita akan ubah dan buktikan kepada masyarakat remaja dilabel ‘mat rempit’ tidaklah seburuk disangkakan.
“Apa juga sebab mereka terjebak yang jelas mereka adalah mangsa keadaan tidak kondusif dan sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkannya,” katanya.
Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada para penyelidik yang telah bertungkus-lumus dalam melaksanakan program itu, Dr Sharifah Hapsah mengakhiri ucapannya dengan serengkap seloka:
Kem Perkasa Remaja berakhir sudah
Berkat dorongan Datin Paduka Seri Rosmah
Pemerkasaan remaja mengurangi masalah
Generasi perwaris negara tetap megah