NC sanjung media kerana sokongan sejak 40 tahun lalu

JUMAAT, 11 JUN 2010 00:00
Oleh Abdul Ghani Nasir

KUALA LUMPUR, 11 Jun – UKM adalah sebuah universiti rakyat yang sebenarnya memandangkan penubuhannya wujud dari sokongan padu rakyat yang mahukan sebuah universiti yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.

Sokongan demikian itu telah timbul berkat perjuangan yang dimainkan wartawan dan media terutamanya yang berbahasa Melayu yang telah memperjuangkan penubuhan sebuah universiti kebangsaan hingga membawa kepada wujudnya Universiti Kebangsaan Malaysia, kata Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Berucap ketika meraikan wartawan di majlis Malam Mesra UKM-Media 2010 dengan tema ‘Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan’ di Hotel Le Meridien di sini malam tadi, beliau berkata UKM berterusan mendapat sokongan media sejak 40 tahun hingga ke hari ini.

Bagi menghargai sumbangan berterusan wartawan dan media UKM mulai tahun ini telah mengadakan Hadiah Kewartawanan UKM. Ia adalah sebagai tambahan kepada anugerah Tokoh Wartawan Terbilang UKM yang dimulakan pada tahun lalu.

Beliau menerangkan bahawa dalam langkahnya memacu kemajuan, UKM telah mewujudkan sebuah portal berita bersama dengan pelancaran laman web barunya pada 18 Mei 2010 bersempena Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-40nya.

“Portal ini sudah menyiarkan beberapa penemuan penyelidikan dan ada daripadanya disiarkan dalam media massa. Saya berharap portal berita ini akan menjadi jambatan antara media dengan UKM.”

Pihak media digalakkan melayari portal berita itu dan memetik sebarang berita dan gambar yang dimasukkan di dalamnya. Ia boleh dicapai di www.ukm.my.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah berkata UKM menjadi impian rakyat jelata menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pengajian dan keilmuan di peringkat pengajian tinggi.

“Perkembangan UKM melambangkan kemantapannya dalam melaksanakan tiga proses utama iaitu pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

“Pandangan terhadap kemampuan UKM mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah dibuktikan dengan pencapaian UKM mengeluarkan 131,259 graduan, diiktiraf sebagai universiti penyelidikan dan memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri antara lainnya.

Kejayaan itu, katanya, adalah sebahagian sumbangan UKM yang meluas. Kini UKM berada di era transformasi yang telah memasuki fasa ke kedua Pelan Transformasinya untuk mencapai matlamat menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2018.

Prof Sharifah Hapsah menerangkan bahawa sepanjang tahun lepas, para pengamal media, baik cetak mahupun elektronik telah membuat liputan yang banyak mengenai UKM.

“Artikel yang ditulis oleh warga UKM juga turut mendapat tempat di dada akhbar. Mengikut analisis sejumlah 3,704 berita dan artikel telah diterbitkan kebanyakan dalam akhbar Bahasa Melayu (70%) , Inggeris 25% dan 5% dalam akhbar bahasa Cina.

“Bagi kami, angka-angka ini menyedarkan bahawa sokongan media massa yang berterusan telah menyerlahkan UKM ke persada masyarakat di tanah air dan antarabangsa.

Beliau berkata UKM akan terus memantapkan hubungan dengan pihak media massa melalui perancangan aktiviti dan penyediaan maklumat yang lebih komprehensif yang akan dilaksanakan oleh Pusat Komunikasi Korporat.

“Saya berharap jalinan mesra UKM-media akan berterusan dan sentiasa dipenuhi dengan liputan-liputan segar yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan negara dan masyarakat,” beliau menambah.

Mengenai Hadiah Kewartawanan UKM, Prof Sharifah Hapsah berkata hadiah diberi berasaskan liputan kepada lapan Nic atau bidang serlahan UKM iaitu Cabaran Membina Negara Bangsa, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan dan Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi dan Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi Dalam Pembangunan Bioteknolgi dan ICT: Informatik Isian.

Pemenang, katanya, dipilih melalui penulisan berita yang dihasilkan oleh media cetak dalam tahun 2009. Sebanyak 11 hadiah telah disediakan.    Berbeza daripada anugerah-anugerah kewartawanan lain, hadiah kewartawanan UKM tidak perlu pencalonan sebaliknya berasaskan kepada penyiarannya dalam media massa.

Pemilihan dibuat melalui satu panel bebas UKM terdiri dari para pensyarah kewartawanannya. Hadiah ini akan diperluaskan merangkumi media elektronik dan agensi berita Bernama pada masa akan datang.

UKM juga telah memilih Datuk Seri Azman Ujang bekas Pengurus Besar dan Ketua Pengarang Bernama sebagai Tokoh Wartawan Terbilang UKM 2010.

Malam tadi Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Mazlan Ahmad juga telah melancarkan buku “Tokoh dan Akhbar Melayu: Penebus Peminggiran Melayu”, terbitan Penerbit UKM yang ditulis Karyawan Tamu UKM, Tan Sri Mazlan Nordin. Tan Sri Mazlan adalah penerima anugerah Tokoh Wartawan Terbilang UKM tahun lalu.

Datuk Seri Azman menganggap pengurniaan kepadanya amat bermakna lebih-lebih lagi dari UKM, sebuah universiti terulung yang menghasilkan ramai graduan kewartawanan yang berterusan berperanan dalam industri media tempatan di pelbagai peringkat.

Beliau percaya UKM akan terus memberi sumbangan besar terhadap perkembangan kewartawanan dalam negara dengan memantapkan lagi mutu program kewartawanannya untuk mengeluarkan graduan berkualiti dan lebih kreatif selari dengan kehendak pasaran.