Seminar Antarabangsa Warisan Melayu di Cambodia, Laos dan Vietnam Memperkaya Warisan Melayu
SABTU, 26 JUN 2010 09:37
Oleh Abdul Razak Hussin
Phnom Penh, 25 Jun 2010 — Banyak pihak termasuk di Malaysia, barangkali disebabkan oleh kefahaman terhadap lanskap geografi dan politik yag terbatas tidak melihat bahawa negara Cambodia (Kemboja), Laos dan Vietnam sebagai sebahagian daripada dunia Melayu. Justeru, penganjuran Seminar Antarabangsa Warisan Melayu di Cambodia, Laos dan Vietnam pada 24 hingga 25 Jun 2010 di Holiday Villa, Phnom Penh, Cambodia dilihat telah membuka perspektif baru terhadap warisan Melayu di rantau berkenaan.
Seminar anjuran bersama pelbagai pihak iaitu Pusat Warisan Seni Melayu UiTM, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, The Royal Academy of Cambodia, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta Ikatan Ahli-ahli Arkeologi Malaysia telah menggabungkan para penyelidik pelbagai disiplin dari Malaysia dan ketiga-tiga negara mengenengahkan aspek-aspek yang berkaitan merangkumi seluruh dimensi kehidupan manusia dan masyarakat.
Selain itu, terdapat seorang pembentang dari Australia. Sehingga beberapa tahun yang lalu, penyelidikan berkaitan Indochina lebih banyak dilakukan oleh para penyelidik Eropah, kini penyelidik rantau ini sendiri telah memperlihatkan minat mendalam untuk menjalankan penyelidikan dengan memaparkan perspektif yang lebih berteraskan budaya dan hati budi tempatan.
Sebanyak 40 kertas kerja dibentangkan dalam seminar dua hari berkenaan yang dihadiri kira-kira 80 orang peserta. Pembentangan kertas kerja oleh para penyelidik merangkumi paparan sejarah purba sehinggalah pencapaian semasa, antaranya pengajian mengenai Melayu di IndoChina, cabaran dalam penulisan kamus Melayu-Cham, hubungan sejarah kerajaan Khmer dengan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, perbandingan tekstil di Kemboja dengan negeri timur laut Semenanjung Tanah Melayu, aspek psikologikal Melayu Cam, unsur Kemboja dalam kesusasteraan Melayu, hubungan perkahwinan antara orang Islam dengan orang Buddha di Kemboja, perubatan masyarakat dalam komuniti Melayu Kemboja dan Vietnam, warisan arkitektur, ancaman perubahan iklim di Sungai Mekong, peranan ulama dan profesional dalam gerakan dakwah di Kemboja, pendidikan di kalangan orang Melayu Kemboja, potensi pelancongan berteraskan institusi Melayu di Kemboja dan cerita penghijrahan orang Kemboja ke Malaysia.
Sebagaimana diharapkan oleh Dr. Khlot Thyda, President of The Royal Academy of Cambodia, seminar ini akan menjadi pendorong kepada aktiviti penyelidikan yang dapat mencungkil lebih banyak warisan Melayu di rantau Indochina khususnya yang dapat mengukuhkan lagi ikatan dan hubungan antara negara di Asia Tenggara.
Hubungan diplomatik, ekonomi, perdagangan, agama, budaya dan politik yang terjalin sejak lebih lima atau enam abad yang lalu harus terus diteroka untuk mengukuhkan lagi kesetiakawanan dan solidariti generasi hari ini dengan berpegang kepada nilai toleransi, kebersamaan dan hormat menghormati. Bagi beliau, dengan turut memberi perhatian terhadap masa lalu akan memberikan kejelasan laluan ke arah masa depan dengan lebih baik.