Konsep “Eko Pelancongan Ilmu” UKM Boleh Majukan Sektor Pelancongan, Kata Menteri Pelancongan Malaysia
RABU, 10 NOVEMBER 2010 19:07
Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 10 Nov. 2010 – Sektor pelancongan negara boleh dikembangkan menerusi konsep eko pelancongan ilmu yang diperkenalkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kata Menteri Pelancongan Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen di sini hari.
Katanya, kefahaman konvensional terhadap pelancongan menggambarkan keindahan alam semula jadi, seni, budaya, artifak sejarah serta warisan ketamadunan.
Tetapi, sektor pelancongan kini boleh dikembangkan menerusi konsep eko pelancongan ilmu yang diperkenalkan oleh UKM, katanya semasa berucap sempena lawatan kerjanya ke UKM di sini.
Beliau berkata sektor pelancongan adalah penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan keseluruhan negara.
“Ini membuktikan bahawa sektor pelancongan begitu penting yang turut menjana dan merancakkan pelbagai sektor lain yang berkaitan seperti pengangkutan, restoran, perhotelan, kraf tangan, tekstil serta industri kecil dan sederhana.”
Dalam usaha Kerajaan mengejar model ekonomi baru yang antara lain untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati pendapatan tinggi, sektor pelancongan harus dikembangkan.
Dr Ng berkata universiti bukan lagi merupakan “menara gading” yang eksklusif dan tidak boleh didampingi masyarakat awam.
“Sebaliknya kini, universiti termasuk UKM turut terlibat secara langsung bukan sahaja dalam penggubalan dasar kerajaan, malah menyediakan mekanisme bagaimana sesuatu dasar itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.”
Ilmu pengetahuan pula, bukan hanya terdapat di dalam buku atau jurnal, malah lapangan dunia luas sebenarnya adalah sumber yang menyediakan begitu banyak ilmu untuk diteroka dan dijana.
Beliau juga berkata taklimat Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, telah menyedarkan semua pihak, khususnya yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan bahawa kini pelancong lebih memilih denga mempunyai keperluan yang juga sudah berbeza.
“Telah muncul golongan pelancong yang mengharapkan lebih daripada lokasi atau sesuatu yang dilawati.”
Dengan tahap pendidikan lebih tinggi, khususnya pelancong Barat, mereka ingin mengetahui ceritera di sebalik keindahan dan keunikan tarikan sesuatu lokasi seperti Tasik Cini, Lata Jarum, Bukit Fraser, Mersing, Pulau Langkawi dan lain-lain.
Dr Ng berkata beliau gembira dengan UKM yang melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan secara intensif di beberapa kawasan berpotensi pelancongan.
“Saya gembira, kerana para akademik dan pelajar di peringkat pasca siswazah terlibat dengan usaha menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pelancong yang tentunya mengukuhkan lagi konsep eko pelancongan ilmu.”
Justeru itu, Dr Ng menyeru institusi pengajian tinggi terus aktif menganjurkan aktiviti akademik yang menonjolkan keistimewaan Malaysia yang unik sehingga mampu menarik penyertaan yang ramai dari seluruh pelosok dunia.
Kementerian beliau akan terus menyokong and mendukung segala aktiviti keilmuan yang dapat menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ilmu pengetahuan.
“Kami ingin melihat, pelancong yang ramai datang ke Malaysia bukan sekadar kerana keindahan dan keunikan alam semula jadinya tetapi juga kerana ada sesuatu yang terhasil daripada pemikiran rakyat Malaysia yang mereka ingin pelajari,” katanya.
Terdahulu, Prof Sharifah Hapsah, dalam taklimatnya, berkata UKM mempunyai tujuh pusat penyelidikan yang dibuka kepada pelawat yang boleh mengatur lawatan mereka menerusi agensi pelancongan, K Eco Tourism Sdn Bhd.
Enam pusat di luar kawasan campus UKM ialah Pusat Penyelidikan Tasik Cini (Pahang), Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (Pahang), Pusat Penyelidikan Langkawi (Kedah), Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin, Mersing (Johor), Penyelidikan di Hutan Lipur Lata Jarum (Pahang) dan Penyelidikan di Sungai Pulai (Johore), sementara Hutan Simpan Bangi terletak di dalam campus.
Pelawat juga boleh mengatur lawatan ke Pusat Kebudayaan Jabatan Perkhidmatan Pelajar, Muzium Warisan Akademik, Taman Paku Pakis, Taman Herba dan Taman Inovasi Tenaga Hijau di dalam kampus utama UKM.
Semua lawatan untuk pakej ekopelancongan ilmu itu boleh diatur melalui K Eco Tourism, sebuah anak syarikat UKM.