Malam 1,000 Gitar bergema di Stadium Putera, Bukit Jalil Khamis ini

SELASA, 23 NOVEMBER 2010 18:20

Oleh Kuah Guan Oo

BANGI, 23 Nov 2010 – Pencinta muzik dan penggemar gitar jangan melepaskan peluang untuk mendengar gema 1,000 gitar pada satu persembahan di Stadium Putera, Bukit Jalil hari Khamis malam Jumaat ini, berkat  ehsan Pusat Budaya UKM.

Disifatkan sebagai persembahan gitar terbanyak ia juga akan cuba dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records dengan disaksi dan disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang akan merasmikannya.

Pegawai Kebudayaan UKM, Amar Baharudin, berkata pihak universiti bertanggungjawab mengumpul semua pemain gitar itu bagi menjalani latihan beramai-ramai untuk persembahan malam Jumaat ini nanti.

 “Pemain gitar yang terlibat ini ada yang berumur hanya lapan tahun saja manakala yang tertua sudah mencecah 60 tahun,”  tambah beliau. Hampir kesemua pemuzik memetik gitar mereka sendiri, manakala yang tidak mempunyai dipinjamkan oleh UKM.

Mereka datang dari berbagai universiti awam dan swasta, kolej dan sekolah hingga dari Perak. Semua mereka kini ditempatkan di kampus UKM di sini untuk berlatih bagi mendendangkan dua buah lagu “Malaysia Inovatif” disusun oleh Dato’ Dr Johari Salleh, Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar UKM dan “UKM Seribu Gitar” dicipta oleh Mohamad Adzan Mohd Fadzil, seorang pegawai kebudayaan di Pusat Budaya UKM.

Amar Baharudin berkata persembahan gitar terbesar itu adalah acara kemuncak Pesta Inovasi Malaysia 2010 yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dari 24 hingga 26 November.

Kugiran X.P.D.C, Kristal dan Hujan serta persembahan dan tarian akan turut menghiburkan hadirin. Masuk adalah percuma bagi persembahan bermula jam 8.30 malam itu.

 

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir