Pelajar Psikologi Kaunseling UKM dampingi golongan terbiar di KL
SELASA, 16 NOVEMBER 2010 10:51
Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 16 Nov. 2010 – Terpaksa tidur di kaki lima setiap malam manakala pada sebelah siang hari mengumpulkan kotak untuk dijual bagi mendapatkan sesuap nasi – beginilah nasib malang seorang daripada lelaki golongan terbiar di Kuala Lumpur.
Penderitaan dan kemelaratan lelaki berasal Sabah ini terdedah ketika dia tampil mengambil bungkusan makanan yang diberikan percuma oleh Pertiwi Soup Kitchen di sebatang lorong dekat Medan Tuanku Abdul Rahman, di ibu negara baru-baru ini.
Profesor Dr Rohany Nasir dari Pusat Pengajian Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Sosial and Kemanusiaan, UKM, yang menemui lelaki itu menceritakan:
“Lelaki ini telah datang ke Kuala Lumpur dari Sabah sembilan tahun lalu dengan penuh harapan tetapi gagal mendapat sebarang pekerjaan dan telah terpaksa hidup gelandangan sejak itu. Dia cuma mampu melakukan kerja mengumpul kotak kertas untuk dijual setiap hari tetapi tidak mampu mendapatkan rumah menyebabkan dia terpaksa tidur di kaki lima.
“Dia enggan kembali ke Sabah kerana katanya keadaan hidup akan lebih teruk lagi di sana,” kata Prof Rohany yang turut sama membahagikan makanan kepada golongan terbiar sejak Jun lalu.
Bungkusan makanan berisi nasi, lauk, telur dan buah itu dengan nilai RM4 itu diberikan oleh Pertiwi Soup Kitchen dikendalikan oleh Puan Munirah Abdul Hamid. Penerima turut diberikan minuman. Program mendampingi masyarakat itu dijalankan pada setiap malam Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Bagi Prof Rohany apa yang jelas adalah hanya setelah mendekati, berbual dan menyelami isi hati golongan terbiar inilah baru kita faham dan prihatin akan penderitaan mereka.
Golongan terbiar ini biasanya bukan saja menjadikan kaki lima tempat tidur malah sering dilihat baring beralaskan kertas atau tikar di bawah jambatan dan stesen bas di tengah bandar raya.
Dalam usaha mendekat dan mengenalkan pelajar UKM dengan keadaan sebenar yang membelenggu kehidupan golongan terbiar inilah, Prof Rohany menggalakkan pelajar pascasiswazah khususnya dalam bidang pengajian Sarjana Psikologi Kaunseling agar ‘turun padang’ menjadi sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen.
Bagi sebahagian daripada mereka program itu adalah pendedahan pertama kepada kegiatan kebajikan manakala tidak kurang juga yang sudah lama melibatkan diri dalam kerja-kerja bantuan seperti menolong mangsa banjir, membantu meringankan beban murid miskin dan pelbagai kegiatan lain.
“Hanya setelah kita mendampingi mereka barulah kita ketahui keadaan kehidupan mereka yang sebenar. Jika tidak kita tidak mungkin dapat memahami isi hati dan keperluan mereka.
“Begitu juga apabila kita sudah mendekati golongan terbiar seperti di tengah-tengah KL itu kita dapat tengok sendiri dan menjadi prihatin akan penderitaan mereka ini.
“Kita menjadi lebih sensitif dan tidak terlalu terkongkong dengan zon selesa dan keempukan kita selama ini,” kata Prof Rohany.
Beliau yang pernah terlibat dalam kerja membantu mangsa banjir sejak di bangku sekolah sekitar tahun 60-an di negeri asalnya Kelantan, menarik perhatian betapa kita tidak mungkin tahu dan kenal orang dalam sub-budaya berbeza daripada kita tanpa mendampingi golongan terbabit.
“Kita tidak akan dapat memahami dan mengandaikan nilai kita sama dengan mereka pada hal ia berbeza. Bagi pelajar saya khususnya peringkat Sarjana Psikologi Kaunseling tentunya mereka akan lebih prihatin dan merasa empati dengan golongan terpinggir setelah menemui, melihat dan mendampingi mereka ini,” ujarnya.
Dalam usaha menggembleng tenaga pelajar , Presiden Kelab Sosial Siswazah FSSK, Mejar Mohamed Rosly Darasid, 41, memberitahu kelab itu sentiasa menggalakkan ahlinya bergiat mendekatkan diri dengan masyarakat.
Ia baru saja ditubuhkan bukan hanya untuk menjaga kebajikan pelajar dan pensyarah tetapi mahu pelajar terlibat dengan lebih giat dalam pelbagai kerja kebajikan dan bantuan.
Salah seorang pelajar sukarelawan Muhammad Adnan Abdullah, 45, yang berharap dapat menamatkan pengajiannya tidak lama lagi sudah bergiat dalam kerja kebajikan sejak 2003. Ketika menjadi guru lagi beliau giat membantu pelajar miskin dan saudara baru di kampungnya di Kuala Pilah.
Beliau ‘turun padang’ membantu Pertiwi Soup Kitchen bersama Rabiah Abdul Latif, 23, dan Hafizah Azlan, 25. Empat lagi pelajar UKM yang menjadi sukarelawan adalah Lim Hooi Shan, 23; Norizan Hassan, 24, Sharifah Azliza Syed Alwi, 25, dan Chang Wei Hsien, 24.
Bagi Adnan pengajian di peringkat sarjana menambah lagi ilmu beliau dalam bidang kaunseling dan banyak membantunya dalam menjalankan tugas kebajikan di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan.
Beliau yang juga ahli perniagaan, berharap akan berusaha mendampingi pula belia yang suka melepak dengan membahagi pakej makanan sama seperti dilakukan Pertiwi Soup Kitchen.
“Dengan mendekati mereka saya mungkin dapat memahami isi hati mereka dan membawa mereka melakukan kerja yang lebih manfaat,” katanya.
Sebanyak 150 hingga 200 bungkusan makanan diedarkan setiap kali menggunakan sebuah van didermakan oleh Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur.