Konvokesyen ke-38 catat sejarah : 233 lulus Ph.D
RABU, 04 OGOS 2010 20:22
Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 4 Ogos, 2010 – Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-38, 7 hingga 10 Ogos ini mencatat sejarah apabila 233 graduannya memperolehi ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) daripada 7,382 penerima ijazah.
UKM turut mencatat tiga lagi sejarah pada konvokesyen ini:
- Buat pertama kali juga UKM mengeluarkan lapan orang graduan ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) hasil kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
- Kumpulan perintis seramai 20 graduan ijazah Sarjanamuda Sains Forensik yang mengambil masa pengajian empat tahun juga lulus.
- UKM buat pertama kalinya juga mengeluarkan 12 graduan ijazah Sarjana Sains (Geosains Petroleum) hasil kerjasama antara UKM dengan Institut Teknologi Bandung.
Naib Canselor Tan Sri Prof. Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang mengumumkan ini pada satu sidang media turut menyatakan empat tokoh menerima Ijazah Kehormat.
Mereka ialah Prof. Dr Michael Kerin Morgan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perubatan – Neurosurgeri); H M Rusli Zainal, Gabenor Provinsi Riau yang akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Pendidikan) dan Prof Tan Sri Dr Haji Abdul Shukor Haji Husin mantan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Islam).
Felo Utama (Kesenian) Dato’ Johari Salleh, yang kini bertugas membantu mengembang dan mengurus orkestra UKM mendapat ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian).
Anugerah Profesor Emeritus pula diberikan kepada dua profesor orang profesor UKM yang masih memberi perkhidmatan cemerlang sungguhpun sudah mencapai umur persaraan. Mereka adalah Prof Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Prof Dr Nur Muhammad Mahadi, Pengarah Institut Kajian Genom, Kementerian Sains , Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI).
Mengenai graduan Ph.D, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah berkata bilangan itu mungkin yang paling tinggi di kalangan IPTA negara ini.
Sejak 2005 UKM berturut-turut mengeluarkan graduan ijazah Doktor Falsafah melebihi 100 orang iaitu 116 pada 2005; 125 (2006) 135 pada 2007; 188 pada 2008 dan 206 pada 2009.
“Penambahan ini adalah selaras dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan. Malah apa yang turut membanggakan kami adalah 80 peratus daripada 1,700 tenaga akademik UKM adalah pemegang ijazah Ph.D,” kata Naib Canselor.
Beliau menarik perhatian sebenarnya mampu menerima lebih ramai pelajar untuk ijazah Ph.D namun UKM kekurangan peruntukan kerana keperluan perbelanjaan agak tinggi bagi pelajar golongan ini.
Pada tahun ini, 64 graduan ijazah Doktor Falsafah adalah dari luar negara termasuk 21 dari Indonesia, Jordan 10 orang, Iran (7 orang), Yaman (5 orang) dan Libya (5 orang) dengan bakinya 169 dari dalam negara.
Seramai 49 daripada graduan Ph.D itu adalah dari Fakulti Sains dan Teknologi, 43 dari Fakulti Pendidikan, 30 dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan 22 dari Fakulti Pengajian Islam.
Dalam bidang perubatan, 183 orang memperolehi ijazah sarjana pakar perubatan dan seorang bidang Lanjutan Psikatri Kanak-kanak dan Remaja.
Di peringkat ijazah Sarjanamuda, konvokesyen kali ini menghasilkan 5,097 graduan daripada 12 fakulti manakala 402 orang graduan menerima Diploma Siswazah termasuk bagi Sains Kepolisian, Psikologi (Kaunseling) dan Lanjutan Kebidanan.
Sementara itu, Naib Canselor turut mengumumkan hasil projek pengesanan graduannya bagi 2009.
Data menunjukkan 54.2 peratus sudah bekerja, 6.2 peratus melanjutkan pengajian dan 9.8 peratus sedang menunggu pekerjaan, 2.6peratus meningkatkan kemahiran dan yang belum bekerja 27.1 peratus.
Daripada segi pekerjaan, 66.4 peratus bertugas dengan kerajaan, kontak 1.7 peratus, bekerja sementara 14.8 peratus, 1.2 peratus bekerja sendiri manakala lagi 0.7 peratus bekerja sendiri.