Lebih 900,000 pelajar IPT masih tidak berdaftar sebagai pengundi
Oleh Shahfizal Musa
BANGI 19 Ogos, 2010 – Seramai lebih daripada 900,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi masih belum mendaftar untuk mengundi, demikian didedahkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Shahlan di sini hari ini.
Beliau kesal kerana sikap tidak ambil peduli para pelajar terhadap kepimpinan negara dan memberi gambaran ketandusan kualiti kepimpinan dalam diri para pelajar sendiri.
Bercakap di tazkirah Subuh selepas program bersahur bersama rakyat di Masjid UKM di sini awal pagi tadi beliau berkata sikap demikian hanya akan merugikan para pelajar sendiri kerana mereka tidak mengunakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang mereka kehendaki menerajui negara.
Beliau mengandaikannya sebagai suatu krisis kualiti kepimpinan yang melanda belia negara ini sambil memberikan contoh pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan tetapi gagal dalam temuduga untuk mendapatkan pekerjaan.
Shahlan berkata ini bersangkutan dengan kekurangan kemahiran interpersonal yang diperlukan seperti kurangnya keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi iaitu ciri ciri yang diperlukan oleh majikan dalam diri siswazah kerana mereka berpotensi untuk berperanan sebagai pemimpin.
Beliau menerangkan bahawa peranan graduan bukan hanya mendapatkan segulung ijazah dan menyara hidup tetapi lebih kepada kepimpinan kerana mereka mempunyai ilmu.
“Kita mesti sedar yang isu kepimpinan adalah sangat penting kerana kualiti kepimpinan menentukan kualiti sesebuah bangsa dan tamadun, sikap masyarakat dan kemajuan mereka” kata Shahlan.
Beliau mengingatkan bahawa kepimpinan tidak patut dipolitikan kerana implikasinya akan membawa padah. “Konflik kepimpinan telah menjuruskan kepada situasi yang tidak diingini dan mangsanya adalah masyarakat.
“Jikalau kita lihat negara yang sedang bergolak, contohnya Iran dan Iraq, mereka menghadapi masalah kepimpinan, sesuatu kaum juga akan ditindas kerana pergolakan kepimpinan, sebagaimana berlaku di Palestin berikutan perbalahan pemimpin Hamas dan Fatah. Ini hanya memberi ruang kepada Israel menindas dan menzalimi rakyat Palestin,” kata Shahlan.
Kepimpinan politik pula kini dilihat sebagai suatu batu loncatan untuk mendapat kesenangan dan kekayaan. “Sebenarnya kepimpinan adalah suatu bebanan dan amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak oleh Allah.”
Beliau menerangkan bahawa kualiti kepimpinan merangkumi lima perkara. Seorang pemimpin harus menganggap jawatannya sebagai suatu amanah dan bukannya kemegahan. Kedua seorang pemimpin harus memikul tanggung jawab dalam melakukan misi transformasi, iaitu mentransformasikan masyarakat untuk lebih lengkap bagi menghadapi cabaran.
Pemimpin juga harus mampu melakukan perubahan dari segi pemikiran dan sikap masyarakat yang di pimpin, membawa kebebasan dan melakukan pencerahan.
Kualiti kepimpinan yang baik, mesti mencerahkan hidup masyarakat untuk memimpin mereka keluar dari kejahilan, kemiskinan dan ketidakadilan.
Apabila ditanya tentang konsep satu Malaysia sama ada ia selari dengan Islam beliau berkata “ konsep tersebut menganjurkan, inovasi, kreativiti, integriti, kebenaran dan ketepatan ini semua adalah sebahagian daripada prinsip Islam,
Turut hadir pada program tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dato’ Mohamad Abdul Razak dan pegawai- pegawai kanan Universiti.