Pembangunan jati diri para pelajar harus diberikan tumpuan selain akademik, titah Tuanku Canselor
SABTU, 07 OGOS 2010 20:08
Oleh Shahfizal Musa
BANGI, 7 August 2010 – UKM diingatkan memberi perhatian kepada misinya untuk meletakkannya di persada dunia dengan acuan sendiri, pembinaan modal insan berketrampilan, serta menonjolkan UKM sebagai lambang kesarjanaan dan wibawa ilmiah negara.
Canselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertitah bahawa UKM sebagai sebuah Universiti Kebangsaan tidak seharusnya menumpukan kepada pembangunan akademik sahaja tetapi perlu juga memberi perhatian kepada jati diri para pelajar, supaya graduannya bukan sahaja mempunyai kecemerlangan intelektual tetapi juga asas yang kukuh dalam sahsiah diri untuk menjadi pemimpin yang berguna.
Ini adalah antara cabaran besar yang masih perlu terus diperjuangkan. Misi UKM semasa penubuhannya, menjadi semakin relevan dalam konteks masyarakat dan suasana semasa untuk menghadapi realiti abad ini, titah Baginda di Konvokesyen ke 38 UKM hari ini.
Baginda juga menggesa UKM membuat persiapan untuk mendapat tempat sebagai Universiti yang bertaraf dunia sementara berpegang kepada nilai acuan sendiri.
Tuanku Muhriz bertitah “UKM harus bersiap siaga, menghadapi cabaran dalam konteks abad ke 21 dalam semua dimensi. Secara khususnya UKM harus menangani perkembangan dan tren pendidikan tinggi sedunia yang memberi dampak kepada pendidikan tinggi negara dalam cita-cita untuk mencapai matlamat, menjadi universiti penyelidikan bertaraf dunia menjelang 2018.”
Sejak penubuhanya UKM telah melangkah jauh dan melangkau matlamat pengasas-pengasasnya dan sekarang telah bersedia untuk mendapat tempat di dunia sebagai Universiti Penyelidikan yang berinovasi.
Tuanku Muhriz bangga dengan pencapaian UKM dan bertitah: “UKM kini adalah satu Universiti Penyelidikan yang sangat produktif menghasilkan penyelidikan bersifat rentas disiplin, yang mengukuhkan korpus ilmu pengetahuan di peringkat tinggi. Beta percaya, sebagai universiti penyelidikan, UKM akan terus menjadi pencetus inovasi, yang dapat memberi kesejahteraan kepada kehidupan manusia dan Alam sejagat. “
Baginda juga mengingatkan pelajarnya agar sentiasa mengenang budi dan membalas jasa ibu bapa dan orang lain yang berbudi pada mereka.
Kepada graduan baginda bertitah: “Jadilah seorang yang terus belajar sepanjang hayat. Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah mengikut masa. Barangkali ilmu pada hari ini akan menjadi tidak sesuai lagi untuk menghadapi cabaran lima tahun mendatang. Jesteru, tanamkanlah keazaman meneruskan pencarian ilmu”
Turut hadir pada upacara tersebut adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani bt Almarhum Tengku Besar Mahmud, Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin, pegawai kanan Universiti dan ibu bapa para graduan.