Pendidik: Adakah anda melahirkan seorang yang baik atau pekerja baik?

SELASA, 03 OGOS 2010 16:27
Oleh Kuah Guan Oo


BANGI, 3 Ogos 2010
– Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah hari ini mencabar para pendidik dan guru supaya memikir dengan mendalam matlamat tugasan mereka, iaitu sama ada membentuk insan yang rajin berkerja atau insan yang baik.

Beliau berkata mereka nampaknya telah tertumpu kepada usaha “melahir” pekerja yang baik sahaja, dan bukan kepada orang yang baik.

Seorang yang baik adalah orang yang berfikir dan dengan itu akan menjadi seorang pekerja yang baik.

“Kalau kita boleh melahirkan seorang yang baik, dia akan menjadi seorang pekerja yang baik!” katanya ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara ke-4  yang bertema  “Transformasi dan Inovasi dalam Pendidikan Negara” (SKEPEN2010) di sini hari ini.

Seminar dua hari itu dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Makaysia (UKM), Kementerian Pengajian Tinggi , Kementerian Pelajaran dan MARA.

Antara lain SKEPEN2010 bertujuan menggalakkan pemimpin pendidikan dan para sarjana untuk berkongsi teori, penyelidikan dan pengalaman tentang aspek-aspek transformasi dan inovasi dalam kepemimpinan, pengurusan dan pentadbiran institusi pendidikan.

Seminar itu juga diharapkan dapat merangka satu strategi penyelesaian dan pengubahsuaian dalam pemikiran pendidikan selari dengan tuntutan semasa dalam perubahan global dunia pendidikan selain dari menyediakan perancangan strategik bagi merangka transformasi dan inovasi dalam pendidikan negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan perubahan dan inovasi dalam semua sektor perkhidmatan awam.

Dato’ Saiffudin berkata,  para pendidik harus membentuk profil  seorang yang baik dahulu sebelum mereka boleh mengaturkan program dan bahan-bahan untuk “melahirkan” insan yang baik itu.

“Kalau kita serius dalam memperbaiki mutu pendidikan kita, kita harus fikir macam mana kita hendak mencapainya. Kita sebenarnya perlukan pemikir  yang boleh menulis atau mengarang sehingga mereka menjadi ‘suara’ dalam bidang pendidikan,” katanya.

Sambil menekankan betapa penting bagi para pendidik merangka kaedah pendidikan yang lebih baik, beliau berkata, “Kalau kita sayangkan anak bangsa kita, kita tidak ada pilihan lain”.

Terdahulu, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan aluannya berkata sebagai menyahut tuntutan dan desakan perubahan, UKM telah dan sedang menggerakkan pelbagai langkah dalam rangka melakukan transformasi dan innovasi dalam semua bidang pengajian sama ada di peringkat Diploma Lanjutan, Ijazah mahupun Ijazah Pasca Siswazah.

“UKM juga banyak menganjurkan program dan aktiviti yang semuanya ke arah matlamat melestarikan UKM sebagai universiti penyelidikan yang unggul,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Ir Dr Hassan Basri.

Beliau berkata, dengan disiplin dan integriti akademik yang dihayati oleh ahli akademik UKM, hasil penyelidikan yang dibentangkan dengan tulus akan memberi input yang berguna kepada pihak kerajaan khususnya dalam merangka sistem dan kaedah yang terbaik dalam pendidikan negara.

Inovasi  terbaru yang digerakkan oleh UKM dalam bidang pendidikan ialah menubuhkan sebuah Pusat Permata Pintar Negara di kampus UKM dengan kolaborasi  Johns Hopkins University dari Amerika Syarikat bagi menyediakan kaedah yang lebih sesuai dan produktif, khusus untuk pelajar-pelajar pintar cerdas.

Bagi memastikan graduan yang dihasilkan oleh UKM terbentuk dengan secara holistik dan memiliki unsur kebolehpasaran, beliau berkata Sistem Penilaian Kemahiran Generik (SPKG) telah dilaksanakan sejak tahun lepas.

“Setiap pelajar dirangsang dan dibimbing untuk menguasai antara lapan hingga 16 Kemahiran Generik yang diperlukan teradun dan diterap dalam kursus pengajian yang diikuti.

“Ini  adalah di antara contoh transformasi dan inovasi yang diusahakan oleh UKM dalam rangka memenuhi keperluan modal insan bagi pembangunan negara ,” katanya.

Prof Sharifah Hapsah berkata bahawa keperluan pendidikan di peringkat yang lebih rendah turut menjadi tumpuan para penyelidik UKM.

“Kemantapan sistem pendidikan di peringkat awal amat perlu dibentuk bagi memastikan kesinambungan yang teratur apabila menjangkau sistem pendidikan yang lebih tinggi,” tambahnya.