Perbankan Islam Boleh Halang Krisis Kewangan Sub-Prime, kata Doktar Falsafah UKM
AHAD, 08 OGOS 2010 15:56
Oleh Kuah Guan Oo
BANGI, 8 Ogos 2010 – Sistem perbankan Islam boleh mengelakkan krisis kewangan sub-prime yang melandakan negara-negara Barat dewasa ini, demikian kata seorang graduan Ph.D yang menerima ijazahnya di Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.
Suhal, 43, yang merupakan seorang di antara 21 warga Indonesia yang menerima doctor falsafah mereka di Konvokesyen UKM tahun ini, berkata kaedah perbankan Islam menghalang pinjaman atau hutang seseorang kepada bank itu dijual kepada pihak lain.
Beliau berkata beliau telah membuat kajiselidik tentang Dana Islam Antarabangsa untuk dessertasinya semasa berkursus di UKM sejak tahun 2004.
“Bidang Dana Islam Antarabangsa adalah satu bidang baru yang perlu dikaji untuk mengetahui bagaimana ia dapat menyumbang kepada pertumbahan ekonomi dan industri,” katanya dalam satu wawancara.
Untuk kajiannya, beliau menilai prestasi dana kewangan Islam antarabangsa, faktor-faktor yang mempengaruhi prestasinya, seperti Syariah, undang-undang, tujuan pelaburan, struktur pasaran, ciri-ciri akar atau kontrak dan sebagainya.
Suhal yang mempunyai hanya satu nama seperti ramai warga Indonesia yang lain, berkata rumusan utama kajiannya ialah sekiranya prestasi perbankan Islam itu baik, orang ramai akan alih menggunakannya daripada perbankan konvensional.
Beliau mendapati bahawa perbankan Islam kini telah mencatat penambahan mendadak. “Pada tahun 1980 hingga 1983 cuma terdapat satu atau dua sahaja dana unit Islam, tetapi hari ini terdapat lebih daripada 700 dana unit Islam yang dikendalikan oleh kira-kira 100 buah bank, termasuk bank konvensional.”
Suhal berkata dalam sistem perbankan, krisis kewangan seperti sub-prime yang melanda amerika Syarikat hingga membawa kepada meredumnya ekonomi Amerika dan dunia dua tahun lalu boleh dielakkan kerana kontrak itu akan menghalang “gharar” atau risiko melampau.
“Anda tidak boleh ada lebih daripada tiga pihak dalam satu kontrak mengikut kehendak Syariah,” katanya, yang bermaksud hutang atau pinjaman itu tidak boleh dikumpul dan dijual kepada pihak lain.
Suhal yang mengajar kewangan dan ekonomi di Linton University College (Legenda Education Group) di Mantin, telah berumahtangga dengan tiga orang anak, dua lelaki dan soerang perempuan.
Berasal dari Bangkalen, Madura di Java Timur, beliau memperolehi ijazah sarjanamuda daripada Universiti Trunojoyo, Bangkalen dan sarjananya daripada Universiti Padjadjaran di Bandung.
Ditanya kenapa beliau memilih UKM untuk melanjutkan pendidikannya, beliau berkata UKM adalah sebuah universiti yang unggul di rantau ini. “Kemudahannya amat memuaskan, terutamanya dalam segi perpustakaan, journal maya dan pensyarah yang cekap. Penyelia saya ialah Prof Abdul Ghafar Ismail. “
Ditanya apa yang amat mengembiranya semasa di UKM, beliau berkata dia sungguh gembira apabila mendapat tahu beliau diterima oleh UKM sebagai pelajar ijazah doktor falsafah selepas menduduki perperiksaan yang komprehensif .
Beliau juga merasa amat gembira selepas beliau selesai mempertahankan dissertainya di depan sebuah panel UKM.
“Ia amat sukar sekali dan saya tidak senang hati dengan beberapa jawapan saya. Fikiran saya terganggu sehingga saya memasuki pintu toll yang salah semasa saya memandu kereta pulang ke rumah selepas itu!” ujar beliau.