TNC UKM berharap dunia pendidikan dapat redakan ketegangan antara Indonesia dan Malaysia
AHAD, 29 OGOS 2010 15:12
BANGI, 29 Ogos 2010 — Dua buah akhbar Indonesia telah memetik kenyataan Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Hassan Basri yang menyatakan harapan agar sektor pendidikan dapat menjadi ubat untuk meredakan ketegangan kini antara Indonesia Malaysia.
Prof Dato’ Hassan, berada di Universitas Indonesia, Jakarta bagi mewakil Naib Canselor, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin yang dijemput menghadiri Konvokesyen Universiti Indonesia buat julung kalinya. Ketika di UI, Prof Dato’ Hassan turut menandatangani sambungan MoU antara UKM dan UI.
Dalam laporan akhbar Tempo dan Republika itu, beliau dipetik menyatakan banyak ilmuan Indonesia belajar di Malaysia. Di UKM sendiri kini terdapat seramai 600 orang pelajar pasca-siswazah. Katanya,Ketegangan ini tidak mempengaruhi kedudukan pelajar itu.
Beliau mahu melihat pertukaran pelajar diteruskan, begitu juga kerjasama antara pensyarah Malaysia dan Indonesia dalam bidang penyelidikan yang memberi faedah kepada kedua-dua negara.
Ketika dihubungi oleh Portal Berita UKM, Prof Dato’ Hassan berkata, “kehadiran UKM di Konvokesyen UI menjadi simbol keakraban kerjasama antara ilmuan yang terus berjalan walaupun hubungan diplomatik tegang”.