Kerjasama UKM Jaring bangunkan prasarana Perkomputeran Awan di UKM
ISNIN, 11 OKTOBER 2010 17:35
Oleh Abdul Ghani Nasir
Gambar oleh Saliman Leman
BANGI, 11 Okt. 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Jumaat lalu telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Jaring Communications bagi menjalin kerjasama membangun prasarana Perkomputeran Awan dan Perkomputeran Berprestasi Tinggi (CHPC).
Pengarah Pusat Teknologi Maklumat UKM, Prof Ir. Dr Othman A Karim menurunkan tandatangan bagi pihak UKM manakala Jaring Communications diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohamed bin Awang Lah.
Prof Dr Othman melahirkan harapan penyelidik UKM akan melangkah lebih jauh dalam meneroka bidang penyelidikan serta bebas berinovasi menghasilkan ciptaan baru dengan bantuan kuasa memproses lebih besar disediakan oleh CHPC.
“Saya yakin gabungan di antara penyediaan prasarana dan penyelesaian teknologi CHPC dengan kepakaran dan pembangunan aplikasi UKM akan dapat memenuhi hasrat kerajaan menjana kemakmuran dan nilai nasional dalam menuju ke arah negara maju,” katanya di majlis itu ketika mewakili Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahaduddin.
Pengkomputeran Awan, salah satu fasa penting dalam evolusi internet membolehkan sumber pengkomputeran disediakan sebagai perkhidmatan utiliti kepada pengguna di mana dan pada bila-bila masa.
UKM, kata beliau, akan berupaya memanfaatkan kemudahan ini terutamanya dalam aspek penjimatan kos untuk membeli lesen perisian, perkakasan dan juga kuasa pemprosesan.
Di UKM juga, para penyelidik telah terlibat dalam menggunakan kemudahan Pengkomputeran Berprestasi Tinggi dalam penyelidikan mereka.
Para penyelidik seperti Prof Mohd Alauddin Mohd Ali dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah mengetuai projek Grid Integrasi Skala Paling Besar – Integrasi Kawalan Gerakan Hijau Rekaan Sirkit; Prof. Ir. Dr Shahrir Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina mengetuai projek Grid Automotif – Konsep Efisyen Bahan Api dan Prof Dr Fredolin Tanggang @Tajudin Mahmud dari Fakulti Sains dan Teknologi mengetuai projek Grid Cuaca.
Dr Mohamed pula menarik perhatian pelancaran perkhidmatan OneGrid Jaring pada April lalu bermakna ia kini cukup bersedia untuk memasarkan perkhidmatan berasaskan prasarana Pengkomputeran Awan dan Pengkomputeran Berprestasi Tinggi.
“Melalui Memorandum Persefahaman ini, Jaring dan UKM bersama-sama melangkah ke hadapan untuk mengembangkan penggunaan OneGrid bagi faedah bersama,” kata Dr Mohamed.
Prasarana pengkomputeran yang ada pada Jaring boleh diguna oleh UKM untuk tujuan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan.