Kesatuan Eropah dan Asia, apakah ada persamaan?
JUMAAT, 29 OKTOBER 2010 16:42
Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 29 Oct. 2010 – Kesatuan Eropah (EU) tidak mengamalkan diskriminasi berdasarkan bangsa atau agama terhadap kemasukan warga asing yang memerlukan perlindungan, demikian kata Duta Besar Belgium ke Malaysia, Dr. Frank Van De Craen.
Berucap di Syarahan Meja Bulat siri ketiga Institut Kajian Oksidental (IKON) UKM di sini semalan, atas tajuk “Pimpinan Belgium di Kesatuan Eropah: Implikasi ke atas hubungan EU dan Asia, Duta Besar itu bagaimana pun mengakui bahawa selepas peristiwa September 11, 2001, beberapa perubahan telah dilakukan atas nama keselamatan.
“Selepas peristiwa September 11, ternyata EU terpaksa lebih berhati-hati apabila menerima pemohon perlindungan dari kawasan tertentu dengan penapisan yang lebih ketat terpaksa dilakukan. Apa pun EU tidak pernah menolak permohonan seseorang hanya berdasarkan kaum atau agamanya,” tambah beliau.
Selepas Peristiwa 911 Europah mengalami peningkatan perasaan kebangsaan sempit (xenophobia) khususnya di German dan Perancis; misalnya cadangan pengharaman hijab di sekolah yang dimulakan sejak 2004 di Perancis.
Perasaan demikian juga terlihat di Switzerland yang mahu mengharamkan kubah Masjid. Walaupun Switzerland bukan anggota EU tetapi secara geografi ia berada di benua Eropah.
Beliau mengakui bahawa pandangan melampau demikian jelas melanggar hak asasi kebebasan untuk kaum dan agama tetapi menjelaskan bahawa ia bukanlah pandangan arus perdana.
“Pendatang sememangnya berbeza dan mereka susah mahu menyesuaikan diri dengan budaya EU. Dengan itu puak politik yang mencari populariti selalu memainkan isu ini dan cuba menyemarakkan sentimen perkauman tetapi ini bukanlah pandangan arus perdana di EU, ” tambah beliau
Menjawab soalan peserta samada EU telah gagal mewujudkan masyarakat berbagai budaya, beliau mengakuinya dan kesal terhadap perkembangan itu.
Dua puluh tahun lalu kami tidak menjangka yang kami akan mempunyai begitu ramai pendatang kebanyakannya terdiri daripada buruh tidak berkemahiran.
Jadi bagi EU masalah itu hanya dapat ditangani dengan undang-undang imigresen yang ketat.
Bagaimana pun, beliau berkata, Eropah dan Asia mempunyai kepentingan yang sama dalam beberapa hal termasuk pertalian ekonomi dan kewangan yang menentang peperangan ekonomi atau mata wang, mewujudkan pasaran yang lebih bertanggungjawab selain dan memperbaiki kualiti hidup rakyat mereka.
“Tanpa memaksa penerimaan pandangan kami dalam isu bersangkutan keselamatan sosial, demokrasi ataupun keadilan di Asia, kami ingin berkongsi pengalaman kami sejak abad ke 18 dari yang paling positif hinggalah yang paling negatif,” kata Van De Craen.
Kedua-dua benua juga mempunyai kepentingan bersama dalam isu pemanasan global. “Ini adalah cabaran baru bagi kami dan kami tidak dapat mengajar anda . Kita berada dalam kapal yang sama dan kami berharap komitmen yang jujur dan kuat dari Asia dalam isu ini,” tambahnya.