PERKASA bukti iltizam UKM bantu atasi gejala sosial

SELASA, 12 OKTOBER 2010 15:33

Oleh Abdul Ghani Nasir
Gambar oleh Saliman Leman

BANGI, 12 Okt 2010 – Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) yang ditubuhkan UKM untuk mengadakan program bagi mengatasi gejala sosial dikalangan belia bersedia melebarkan sayapnya kepada semua badan yang mahu mambantu mengatasi masaalah pembabitan belia dalam gejala negatif seperti merempit.

Matlamatnya ialah untuk mengubah pendidiran belia yang terjerumus dalam berbagai gejala tidak sihat bagi mengubah sikap negatif mereka untuk menjadi remaja cemerlang, demikian kata Timbalan Naib Canselor UKM, Prof, Dato’ Ir. Dr Hasan Basri di acara menandatangani MOU antara UKM dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Bilik Majlis, petang semalam.

MoU itu mengambil pendekatan untuk merubah dan membina generasi muda FELDA yang lebih cemerlang serta mengurangkan pembabitan mereka dalam kegiatan tidak sihat.

“Fokus penyelidikan dan pembangunan yang akan dijalankan berbentuk penyelidikan gunaan dalam melaksanakan intervensi ke arah mencungkil potensi remaja FELDA supaya menjadi modal insan yang lebih berpotensi.”

Beliau menerangkan bahawa pusat itu adalah bukti iltizam UKM untuk melakukan yang sepatut bagi menghadapi gejala yang amat membimbangkan itu.

Baru-baru ini ia telah pun melaksanakan dengan jayanya satu program pemulihan seramai 34 orang belia rempit melalui program intervensi berkonsepkan kem.

Dr Hasan berkata Pusat itu bertanggungjawab terhadap perancangan, perlaksanaan dan juga penilaian program-program remaja selain bertindak sebagai pemangkin membantu remaja membentuk hala tuju baru dalam hidup mereka hingga dapat memberi sumbangan bererti kepada keluarga, komuniti dan negara.”

Beliau percaya pembabitan  mereka dalam gejala tidak sihat itu berpunca dari berbagai faktor yang mendorong mereka terjebak demikian. “Yang jelasnya mereka adalah mangsa keadaan yang tidak kondusif dan sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkannya”.

FELDA diwakili Timbalan Pengarah Besar, Haji Abidin Abdul Rahman manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad bin Maslan turut hadir menyaksikan majlis memeterai perjanjian MoU itu.

 

Dalam ucapannya, Datuk Ahmad berkata peratusan belia FELDA yang terlibat dalam merempit atau RAM IT tidaklah ramai, ia itu sejumlah 2,000 orang daripada dua juta penduduk di 317 gugusan FELDA.

Kini hanya tinggal 1,400 saja yang terlibat termasuk sejumlah kecil yang terbabit dalam penagihan dadah, sumbang mahram dan mengandung di luar nikah.

Beliau menarik perhatian terhadap betapa ramainya anak peneroka FELDA yang berjaya menjadi profesional termasuk dilantik sebagai  hakim mahkamah.

Beliau mengalu-alukan pelaksanaan program bagi membantu melahirkan kadar gejala sosial sifar diantara belia dan penduduk FELDA dan menjadikan masyarakat peneroka sebagai penduduk contoh di luar bandar.

Seramai 60 orang remaja yang terlibat dalam aktiviti merempit dari 10 wilayah FELDA akan dipilih menyertai program demikian bermula 22 Oktober ini.Mereka dipilih berdasarkan kriteria berumur 18-25 tahun, terdiri daripada remaja yang terlibat dalam perlumbaan  motosikal haram,  tidak bersekolah, tiada kes jenayah, tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi bermotivasi tinggi untuk berubah.

Kem intervensi ini akan dijalankan di Pusat Latihan FELDA Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Outward Bound School, Lumut dan di FELDA Trolak, Perak.

Program UKM-FELDA itu juga adalah tambahan kepada rancangan seperti Program Kemahiran Belia, penubuhan Briged Peladang membabitkan anak peneroka, Skuad
Waja Rela dan Karnival Iktiraf dianjurkan bagi faedah penduduk di lebih 300 wilayah FELDA seluruh negara.