Rumah Tenaga Ultra Rendah UKM buktikan keberkesanan aplikasi penyelidikan
RABU, 20 OKTOBER 2010 11:07
Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 20 Okt 2010 – Rumah Tenaga Ultra Rendah UKM adalah suatu inisiatif yang boleh dijadikan sebagai satu tapak ujian bagi membuktikan keberkesanan aplikasi hasil penyelidikan teknologi hijau tempatan.
“Kejayaan Rumah Tenaga ini akan meyakinkan pihak industri dan pelabur untuk mengkomersialkan teknologi hijau yang diketengahkan.”
Demikian kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Dr Maximus Ongkili ketika merasmikan Rumah Tenaga Ultra Rendah di Taman Inovasi Teknologi Tenaga Hijau bertentangan Padang Sukan kampus UKM di sini semalam. Taman dan Rumah Tenaga Ultra Rendah itu dibina oleh Institut Penyelidikan Tenaga SuriaUKM (SERI).
Beliau berkata teknologi hijau telah dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan mapan dengan disokong oleh Dasar Teknologi Hijau Negara.
Kerajaan, katanya, telah memperuntukkan RM210 juta bagi kajian bidang tenaga diperbaharui, kimia hijau, teknologi air, nanoteknologi hijau, teknologi alam sekitar dan industri yang menjurus ke arah penggunaan guna tenaga yang cekap.
Salah satu bidang teknologi hijau yang diberi penekanan kerajaan adalah Bangunan Hijau bagi mengurangkan penggunaan tenaga berdasarkan konsep penjimatan tenaga seperti pengedaran semula jadi, tambah beliau.
Dr Ongkili kemudiannya menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara UKM dan Suruhanjaya Sains dan Teknologi Bagi Pembangunan Lestari di Selatan, Pakistan (COMSATS) untuk bekerjasama mempromosi dan melaksanakan teknologi hijau.
Ia juga bertujuan menjalin kerjasama saintifik dalam bidang keterbaharuan tenaga. UKM diwakili Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin manakala COMSATS oleh Pengarah Eksekutifnya, Dr Imran Elahi Qureshi.
Prof Sharifah Hapsah berkata UKM ingin bersama-sama dengan pihak industri untuk memartabatkan teknologi tenaga hijau dan komitmennya terhadap usaha itu amat jelas sekali.
“Penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau sentiasa giat dijalankan. MOU dengan COMSATS ini merupakan salah satu lagi komitmen UKM untuk mencapai hasrat ini,” tambah beliau.
Pembukaan Taman Inovasi itu, katanya, adalah satu lagi mercu tanda UKM dalam memperkasa agenda inovasi teknologi hijau negara dan mengucapkan tahniah kepada SERI yang berjaya membina Taman dan Rumah itu yang membuktikan kejayaan dan kebolehan penyelidiknya.
SERI telah pun berjaya melaksanakan lebih daripada 30 produk hijau dan merupakan satu-satunya institusi yang menyediakan program Sarjana dan PhD bagi bidang tenaga diperbaharui.
Prof Sharifah Hapsah berharap penubuhan taman itu akan mendapat sokongan berterusan kerajaan, swasta dan industri untuk bersama-sama UKM menggerakkan usaha meningkatkan aplikasi teknologi hijau di kalangan masyarakat.
Beliau berkata kesedaran masyarakat terhadap kepentingan teknologi hijau masih lagi di peringkat rendah.
“Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Penggunaan teknologi hijau bersifat mesra alam dan menjadi penggerak utama ke arah pengeluaran karbon pada kadar rendah walaupun kita mengalami arus pembangunan yang berterusan,” katanya lagi.
Sehingga kini penyelidik UKM telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau yang meliputi senibina tenaga rendah, rekaan bina banguan hijau dan pembinaan hijau, sistem hibrid PV, rumah suria dan beberapa projek lagi.
Dr Imtinan pula yakin MOU dengan UKM akan dapat meningkatkan lagi kerjasama di antara dua institusi pengajian itu.
Beliau akan membawa balik pelbagai hasil penyelidikan dan teknologi UKM ke Pakistan dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalin di masa hadapan.
COMSATS juga, kata beliau, telah menubuhkan 16 buah pusat kecemerlangan bagi menggalak dan meningkatkan kerjasama Selatan Selatan dan berharap Malaysia akan menjadi anggota Suruhanjaya itu.