Timbalan NC UKM terima Anugerah Tokoh Pendidikan Tahunan Suruhanjaya Tinggi Australia
ISNIN, 04 OKTOBER 2010 16:54
Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 4 Okt., 2010 – Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Profesor Dr Saran Gill Kaur telah dipilih sebagai penerima sulung Anugerah Tokoh Pendidikan Tahunan Suruhanjaya Australia bagi Malaysia.
Anugerah itu diberikan untuk mengiktiraf rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan besar kepada hubungan pendidikan Australia Malaysia.
Ia disampaikan di satu majlis Jamuan Malam Alumni Australia yang dikelolakan Suruhanjaya Perdagangan Australia di Malaysia Jumaat, 1 Oktober lalu, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Perdagangan itu berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah meneliti satu senarai pendek calon yang dikemukakan untuk anugerah tahunan itu dan telah memilih Prof Dr Saran Kaur.
Pemilihannya itu “adalah berdasarkan kepada keprihatinan dan komitmen Dr Saran kepada program mobiliti pelajar dan sumbangan beliau kepada hubungan Australia Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi,” kata kenyataan itu.
Prof Dr Saran memberitahu beliau berasa amat bertuah menerimanya dan menganggapnya sebagai satu penghormatan kepada UKM.