UKM mengukur prestasinya melalui penunjuk utama pencapaian yang ditanda aras kepada amalan baik antarabangsa
RABU, 27 OKTOBER 2010 16:05
Oleh Mohd Safar Hasim
Foto oleh Riza Atiq
Seoul, 27 Okt. 2010 — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak pernah menggunakan penarafaran sebagai suatu kaedah mutlak mengukur mutu kerana penanda yang digunakan hanya dapat mengesani julat yang sempit daripada apa yang dilakukan oleh universiti sebagai sebuah organisasi kompleks, kata Naib Canselornya, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Shahabudin.
Sebaliknya, UKM menggunapakai julat indikator prestasi utama (KPI) yang diliputi di bawah lima penunjuk utama kecemerlangan iaitu tadbirurus, kepemimpinan, akademik, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan inovasi yang dibandingkan dengan amalan baik antarabangsa.
Prof Sharifah Hapsah berkata demikian dalam kertas kerjanya mengenai ‘rasional budaya pertanggungjawaban baru, pengukuran dan cabaran untuk pengajian tinggi di Malaysia’ di Persidangan Rektor ASEM kedua bertemakan “Kerjasama Asia-Eropah: Sumbangan kepada Masyarakat Berpengetahuan Global” di sini hari ini.
Mesyuarat dua hari itu yang bermula semalam di sini dianjurkan bersama oleh Pusat Pelajaran ASEM (AEH) di bawah Yayasan Asia-Eropah (ASEF), Universiti Korea (KU) dan Rangkaian Universiti ASEAN (AUN).
Prof Sharifah Hapsah berkata kaedah kebertanggungjawaban tradisional yang dilakukan setiap tahun oleh auditor dan dilaporkan ke Parlimen menekankan pematuhan kepada tatacara perakaunan dan kewangan antarabangsa dan pematuhan kepada peraturan sedia ada untuk mengelak daripada perbelanjaan berlebihan, pembaziran dan penyalahgunaan wang pembayar cukai.
Beliau kemudian menekankan mengenai jaminan mutu, audit universiti penyelidikan dan indeks tadbir urus baik universiti sebagai kebertanggungjawaban baru dalam pengajian tinggi.
Beliau menggariskan kehendak usaha itu dalam pengajian tinggi di Malaysia sejak pertengahan 1990 di mana liberalisasi, demokrasi dan penswastaan memerlukannya diwujudkan mengikut penentuan program pengajian yang disediakan adalah berkualiti dan penekanan penawaran program dan kemasukan pelajar antarabangsa mestilah mengikut kehendak akreditasi kursus.
Dalam pertengahan tahun 1990an, Malaysia memulakan usaha ke arah liberalisasi, demokratisasi dan privatisi untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan juga untuk menyekat pengaliran wang dengan menarik masuk pelajar antarabangsa belajar di Malaysia. Dalam menjadikan Malaysia sebuah hub pendidikan, jaminan mutu adalah satu keperluan kebertanggungajawaban kepada pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain.
Pada mulanya ia digunapakai di institusi pengajian tinggi swasta melalui Akta Lembaga Akreditasi Negara yang kemudiannya diperluaskan untuk meliputi semua pengajian tinggi di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia. Akta itu mewajibkan semua pengajian tinggi, sama ada melalui mekanisme swa-akreditasi atau penilaian luaran oleh MQA, untuk menjamin semua program yang diajar adalah mencapai piawai yang boleh dimasukkan dalam Daftar Kelayakan Malaysia.
Audit universiti penyelidikan diperkenalkan dalam tahun 2006 untuk mengenalpasti universiti yang boleh mencapai agenda negara bagi sebuah ekonomi yang bersaing dan kesentosaan sosial melalui R&D, inovasi dan komersialisasi. Empat buah universiti yang diberi taraf universiti penyelidikan diberi tambahan geran tahuan yang lebih besar. Universiti-universiti ini diaudit setiap tiga tahun untuk mengenalkan status mereka.
Menjelang pertengahan tahun 2000an apabila penarafan universiti menjadi popular dan secara naif dikaitkan dengan mutu dan kecemerlangan, terdapat obsesi untuk meletakkan dua buah universiti di Malaysia antara 100 universiti teratas di dunia. Hanya dalam tahun 2009 dipersetujui bahawa autonomy adalah perlu untuk bergerak maju ke arah kecemerlangan.
Bagaimanapun, autonomi perlu dimenangi di mana kerajaan bersedia untuk memberi autonomi yang lebih besar dengan syarat institusi pengajian tinggi menunjukkan tadbir urus yang baik (institusi, kewangan, sumber manusia dan tadbir urus akademik). Suatu kod tadbir urus universiti yang baik dibangunkan, dan daripadanya akan dihasilkan indeks tadbir urus universiti yang baik sebagai suatu ukuran kesediaan universiti untuk diberi autonomi.
Prof Tan Sri Sharifah menekankan isu berkaitan kriteria yang bertindanlapis, kurang kejelasan mengenai maklumat yang diperlukan, juruaudit yang tidak terlatih dan jumlah masa, tenaga dan sumber yang terpaksa dilaburkan dalam usaha untuk mematuhi keperluan pelbagai agensi dan jabatan.
Beliau menekankan pentingnya wujud dialog dan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam membangunkan ukuran dan semua pengajian tinggi tidak terpesona oleh penanda prestasi yang ditetapkan oleh agensi pusat atau badan penarafan.
Sebaliknya, beliau menasihatkan institusi pengajian tinggi untuk membangunkan pelan strategik masing-masing dengan penanda prestasi yang direka untuk mencapai visi dan misi universiti. KPI ini patut ditanda aras dengan amalan baik antarabangsa. KPI yang diminta oleh badan audit luar patut dimasukkan dalam pelan pengajian tinggi. Dengan cara ini, institusi pengajian tinggi akan mencapai kecemerlangan dalam cara yang sistematik dan tidak terbawa-bawa dengan arus penarafan dan penanagggungjawaban.
Budaya kepertanggungjawaban patut menyokong pelan stretagik universiti secara keseluruhannya untuk berkhidmat kepada insan.
Di peringkat institusi pula, universiti hendaklah mampu memberikan kepemimpinan yang boleh mengilham dan menjadi inspirasi kepada yang lain serta dapat pula menganjurkan bengkel untuk menyedar serta menyediakan latihan kepada kakitangan dengan menyediakan kakitangan serta perbelanjaan secukupnya selain daripada mengadakan galakan dan ganjaran kepada fakulti dan kakitangan serta mewujudkan perubahan pengurusan yang boleh menyokong budaya pertanggungjawaban.
Hasil dari pencapaian itu akan mewujudkan perasaan bangga terhadap pencapaian universiti, pengiktirafan antarabangsa, penambahan dana penyelidikan, akreditasi dan penerimaan pelajar oleh institusi lain.
Ia juga akan membawa kepada keyakinan terhadapnya oleh semua yang berkepentingan menerusi peningkatan prestasi dan jenamanya serta reputasi dan akhirnya otonominya.
Mesyuarat para rektor bagi Mesyuarat Asia-Eropah kedua itu bermula semalam bertujuan meningkatkan kerjasama akademik antara institusi pengajian tinggi 46 buah negara anggota ASEM dengan dihadiri lebih 80 orang pakar pengajian tinggi.
Pengarah eksekutif ASEF, Ambasador Dominique Girard berkata ASEF menganggap pelajaran amat penting dalam usaha mengembangkan keupayaan individu dan dengan itu telah menyokong dan menganjur berbagai program untuk meningkatkan kerjasama antara rangkaian pendidik serta institusi akademik di Asia dan Eropah dengan menganggap Persidangan Rektor ASEM sebagai salah satu daripada terasnya.
Pelajaran telah diterima sebagai agenda penting oleh pimpinan ASEM dalam mesyuarat kemuncaknya di Helsinki pada 2006. Peningkatan kerjasama antara kedua benua dalam penyelidikan dan pengajian tinggi memerlukan dialog demikian dimanfaatkan.
Pemupukan kerjasama antara universiti Asia dan Eropah boleh memberi sumbangan besar kepada masyarakat global. Mesyuarat itu juga membincang dan bertukar pandangan mengenai proses dan hala tuju pengajian tinggi dalam ASEM.
Rangkaian Univerisiti ASEAN (AUN) juga telah menjalankan aneka kegiatan baik antara ASEAN sendiri mahu pun di luar dan telah berjaya merapatkan kerjasama di bidang pengajian tinggi antara Asia dan Eropah termasuk menyokong Mesyuarat Rektor ASEM kedua itu.
Mesyuarat Rektor ASEM yang pertama telah diadakan pada 2008 sebagai menyahut syor Mesyuarat Pertama Menteri Pendidikan Asia-Eropah di Berlin pada 2008 supaya diwujudkan kerjasama dibidang pelajaran antara anggota ASEM.