Program CRYSTal UKM pupuk budaya inovasi pelajar sekolah
SELASA, 21 SEPTEMBER 2010 16:46
Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 22 September, 2010 – Usaha terbaru memupuk budaya inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar sekolah anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Program Mentor Inovasi Berasaskan Mikro Pengawal atau CRYSTal (Creative YouthS Through Innovative Learning) telah dilancarkan hari ini melibatkan tiga buah sekolah menengah di Bangi.
Cip mikro pengawal yang digunakan bagi projek itu, merupakan cip yang mudah untuk diprogramkan menggunakan komputer hingga membolehkan ia melakukan pelbagai tugas secara automatik.
Program itu ditaja oleh Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dengan anjuran bersama Kementerian Pelajaran dengan mahasiswa UKM bertindak sebagai mentor pembimbing kepada tiga kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi, Sekolah Menengah Teknik Kajang dan Sekolah Menengah Jalan Bukit, Kajang.
Peranan UKM ialah untuk menyediakan modul-modul latihan terutama di segi tajuk bahasa pengaturcaraan cip mikro, menjalankan latihan kepada guru dan pelajar sekolah selain menyediakan mentor.
Beberapa orang pensyarah juga terlibat sebagai penasihat dan memberikan latihan kepada mentor dan membangunkan modul latihan. Bagi menjayakan program itu, MTDC memperuntukkan RM189,460 sebagai tajaan.
Ketika berucap mewakili Naib Canselor UKM di majlis perasmian Program CRYSTal di SKM Jalan Tiga, semalam Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dato’ Ir Dr Hassan Basri berkata program itu adalah contoh terbaik pembabitan antara UKM melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat; pihak industri melalui (MTDC); Kementerian Pelajaran dan masyarakat iaitu para pelajar dan guru sekolah.
“Melalui projek ini juga mahasiswa UKM dapat memainkan peranan sebagai mentor pembimbing kepada pelajar sekolah bagi membimbing mereka membina peralatan berinovatif dan memupuk budaya pemikiran kreatif.
“Selain melahirkan graduan yang prihatin kepada keperluan masyarakat, program ini turut melengkapkan mereka dengan kemahiran yang akan membantu mereka menghadapi dunia pekerjaan kelak,” katanya.
Sejajar itu, UKM merancang untuk menjadikan aktiviti penglibatan pelajar dengan komuniti sebagai sebahagian daripada kurikulum dan ko-kurikulum pengajaran yang diberikan kredit, kata Prof Hassan.
Ia adalah sebagai menyokong dan menggalakkan lagi penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kalangan pelajar UKM.
Prof Hassan berkata selain program tempatan UKM juga terlibat dengan program di peringkat antarabangsa dengan menjadi ahli The Talloires Network yang dianggotai lebih 200 institusi pengajian tinggi seluruh dunia yang komited terhadap peranan sivik dan tanggungjawab sosial.
“Melalui keahlian ini, UKM juga telah menandatangani satu deklarasi untuk mengaplikasi kepakaran akademik di universiti untuk keterlibatan masyarakat,” tambah beliau.
Prof Hassan menjelaskan sejajar usaha membantu masyarakat, UKM terlibat dalam membantu mangsa tragedi banjir yang melanda Pagoh di Muar pada 2007 dan menjadikan Kampung Kundang Ulu sebagai kampung angkat dengan menganjurkan pelbagai program penyelidikan dan pendidikan di sana.
Baru-baru ini juga, UKM berjaya menyempurnakan Kem Perkasa Remaja Siri 1/2010 bagi membantu memulihkan golongan ‘Mat Rempit’.
Peserta Projek dari SMT Kajang, mencipta Intelligent Traffic Light bertujuan membantu pelajan kaki ketika melintas jalan. Lampu isyarat pada simpang jalan dipasang dengan alat sensor bagi memudahkannya mengesan kehadiran pelajan kaki.
Pelajar SMK Jalan Tiga, Bangi pula mencipta Intelligent Home iaitu alat kawalan penggunaan pelbagai peralatan elektrik yang boleh dipasang dan padam secara automatik.
Kumpulan pelajar SM Jalan Bukit, Kajang mencipta alat pemberi amaran kelajuan bagi mengelakkan kemalangan kenderaan.
Projek perintis program seumpama ini dilancarkan oleh UKM dengan United Engineers Malaysia (UEM) di bawah Program Pintar melibatkan SMK Nusajaya dan SMK Sultan Abu Bakar di Johor.
Antara aplikasi yang sedang dibangunkan oleh pelajar dua sekolah itu adalah aplikasi penjimatan tenaga di makmal dan bilik darjah, kawalan beratur di kantin sekolah dan pengurusan reban itik untuk membantu penternak di kampung.