Waspada bahaya penjajahan bentuk baru : Naib Canselor
RABU, 01 SEPTEMBER 2010 17:36
Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 31 Ogos 2010 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata sambil meraikan kemerdekaan, negara perlu terus berwaspada terhadap pelbagai cabaran termasuk bahaya dominasi budaya asing dan penjajahan ekonomi.
Dalam mengisi erti kemerdekaan, kita juga perlu menterjemahkan ilmu pengetahuan kepada inovasi yang boleh memanfaatkan negara.
Berucap di Majlis Pelancaran Sambutan Ambang Kemerdekaan Malaysia ke-53 Peringkat UKM di Dectar semalam, beliau turut menekankan pentingnya meningkatkan rasa cinta kepada negara.
“Rasa cinta kepada negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatupadu untuk mempertahan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita.”
Prof Sharifah Hapsah mengingatkan bahawa setelah 53 tahun merdeka kini wujud pula penjajahan yang menjelma dalam bentuk baru.
Kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi mendedahkan warganya kepada pelbagai pemikiran, pendapat, ideologi, kepercayaan, nilai, budaya dan cara hidup berbagai golongan manusia.
“Setiap hari kita menonton cerita-cerita di TV yang memperagakan cara hidup dunia barat yang janggal bagi kita yang agak dewasa.
“Tetapi bagi anak anak dan remaja mungkin ini medan pembelajaran bagi mereka. Ini juga penjajahan melalui dominasi kebudayaan asing, selain dari penjajahan ekonomi,” tegas beliau di depan pelajar yang memenuhi dewan itu.
Acara tahunan itu turut disertai Dato’ Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Dato’ Fuad Tan Sri Hassan Ketua Pengarah Jabatan Hal-ehwal Khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang juga alumni UKM.
Prof. Sharifah Hapsah berkata dalam dunia yang sentiasa berubah, kecintaan dan taat setia kepada negara harus kekal segar.
Cinta ini menyubur usaha kita untuk mengisi dada dengan ilmu pengetahuan supaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan para sarjana dan ilmuan di merata dunia.
Beliau turut mengingatkan warga UKM betapa kelahiran pusat pengajian tinggi ini banyak kaitannya dengan perjuangan menuntut kemerdekaan khususnya mendaulatkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu, katanya, adalah lambang identiti kita, lambang masyarakat berjiwa merdeka manakala UKM adalah obor perjuangan itu dari segi keilmuan dan akademik, mewarisi dan meneruskan perjuangan Raja-Raja Melayu, golongan pendidik, wartawan, para nasionalis, murid sekolah dan rakyat jelata umumnya.
“Dalam pengkayaan istilah, penerbitan buku ilmiah dan memuatnaik bahan dalam internet dalam bahasa Melayu, UKM tidak ada tolok bandingan.
“Namun dalam era globalisasi, UKM memahami, perjuangan bahasa perlu di bawa ke peringkat antarabangsa. Tak kenal maka tak cinta. Justeru penonjolan dan kedaulatan Bahasa Melayu digandingi dengan penguasaan sekurang-kurangnya satu atau dua bahasa asing,” katanya.
Prof Sharifah Hapsah juga menegaskanbahawa kita kini tidak lagi perlu mengembara sehingga ke negeri China untuk menuntut ilmu kerana sudah memadai dengan penguasaan bahasanya kerana banyak yang boleh diperolehi daripada internet.
“Pada hari ini, kita perlu menguasai bahasa asing untuk menimba ilmu dan juga untuk menonjolkan kekayaan bahasa kita sendiri. Kemahiran dalam pelbagai bahasa adalah aset dan bukannya tidak cinta kepada Negara,” tambah beliau.
Perayaan itu turut dihadiri oleh pelajar-pelajar IPTA dan IPTS yang menjadi anggota Kelab Rakan Siswa JASA Malaysia (KARISMA).
Sempena sambutan kemerdekaan itu satu pertandingan menghias premis kolej telah dijalankan. Kolej Aminuddin Baki telah memenangi pertandingan menghias premis diikuti Kolej Dato Onn dengan Kolej Ibrahim Yaakub mendapat tempat ketiga.