Zakat bantu pelajar kurang wang pembiayaan di UKM
JUMAAT, 03 SEPTEMBER 2010 17:33
Oleh Abdul Razak Hussin
BANGI, 3 September, 2010 – Tabung Amanah Zakat Universiti Kebangsaan Malaysia (Tazukm) telah mengagihkan zakat berjumlah RM746,430.00 kepada 1,175 pelajarnya tahun ini sehingga Ogos.
Tazukm telah dilantik sebagai Pembantu Amil bagi pihak Lembaga Zakat Selangor pada Disember 2005 dan sejak itu telah menguruskan pembayaran zakat oleh kakitangan UKM menerusi potongan gaji dan pembayaran zakat di kaunter secara tunai atau dengan cek.
Sehingga kini seramai 1,213 orang warga UKM telah membayar zakat mereka menerusi Tazukm dengan kutipan RM194,000 sebulan. Selain itu badan-badan korporat dan pelbagai pihak luar UKM telah juga menyumbang zakat mereka kepada Tazukm dari semasa ke semasa.
Bendahari UKM yang juga Pengerusi Tazukm, Mohd Abd Rashid Mohd. Fadzil memberi tahu demikian di Majlis Penghargaan dan Berbuka Puasa Bersama Penyumbang Zakat Korporat, di Puri Pujangga UKM semalam.
Badan korporat yang diraikan itu adalah MayBank Islamic Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan, Lembaga Pemegang Amanah Kolej Islam Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor.
Sempena majlis tersebut beberapa pelajar fakir, miskin dan mualaf telah menerima sumbangan sebagai asnaf daripada badan-badan korporat itu.
Mohd Abd Rashid berkata Tazukm sentiasa bersedia meringankan beban pelajar UKM yang kurang wang pembiayaan dan dengan itu pelajar-pelajar UKM tidak seharusnya menjadikan kurang berkemampuan sebagai alasan untuk tidak mencapai kejayaan cemerlang dalam pengajian mereka.
Beliau menerangkan bahawa pembelaan akan terus diberikan kepada golongan pelajar kurang berkemampuan hasil daripada zakat kakitangan UKM sendiri ditambah dengan sumbangan zakat badan-badan korporat yang disalurkan menerusi Tazukm.
“Warga UKM tidak perlu meragui modus operandi pengagihan zakat oleh Tazukm kerana segala urusan berkaitan adalah berasaskan undang-undang bertulis, peraturan dan pekeliling yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor dan pegawai lembaga tersebut turut menganggotai Jawatankuasa Agihan Zakat UKM,” katanya.
Jenis bantuan zakat yang diurus oleh Tazukm meliputi bantuan umum pelajaran (yuran dan/atau sara hidup), rawatan perubatan, sagu hati kepada saudara baru, bantuan kecemasan dan bantuan aktiviti organisasi pelajar.
Mohd Abd Rashid merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan badan-badan korporat yang diraikan itu dan beliau juga berharap, langkah badan-badan berkenaan akan menjadi dorongan kepada badan-badan korporat yang lain untuk mengikut jejak langkah mereka.