Anggap Pakar Tempatan Bekerja Di Luar Negara Sebagai Peredaran Kepakaran Bukannya Keciciran Tenaga Mahir


Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Mutimedia PPUKM

KUALA LUMPUR, 19 April 2012 – Terdapat sejumlah pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) yang dilatih di UKM telah memilih untuk bekerja di luar negara hingga menjadi suatu fenomena pengaliran keluar pakar dari negara.

Bagaimana pun Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin melihatnya sebagai suatu ‘peredaran kepakaran’ bukannya ‘keciciran cerdik pandai’ kerana mereka ini akan pulang juga suatu hari nanti dengan membawa pulang kepakaran, pengalaman dan ilmu yang diasah di luar untuk memanfaatkan negara.

Berucap di majlis perasmian Kongres Akademi Neuro-Otology & Audiology ASEAN (AANOA) ke 4 di sini hari ini, Prof Sharifah Hapsah berkata pada jangka pendek ia akan menyebabkan kekurangan tenaga pakar dalam negara tetapi mereka itu sebenarnya sedang memberi khidmat kepada orang ramai tidak kira di mana mereka berada.

Ini adalah lebih penting kerana kepakaran yang ada sedang dimanfaatkan tanpa mengira sempadan.

Neuro-Otology adalah satu cabang perubatan yang mengkaji dan merawat masalah berkait dengan pendengaran. Ia adalah satu cabang kepakaran yang terhasil dari bidang perubatan ENT.

Prof Sharifah Hapsah berkata dengan perkembangan dalam bidang implan koklear bahasa isyarat mungkin tidak akan digunakkan lagi pada suatu hari kelak.

Implan koklear telah merubah rawatan pendengaran kerana ia boleh mengembalikan pendegaran dalam kes-kes yang pernah dianggap mustahil untuk dipulihkan. Masalah pendengaran perlu dikesan seawal mungkin, kerana tanpa rawatan ia boleh menjejaskan perkembangan pembelajaran seseorang, kata Prof Sharifah Hapsah.

UKM memulakan program implant koklear pada tahun 1995 dan sehingga kini telah memberikan implant itu kepada seramai lebih daripada 295 orang.

Program tersebut juga turut memberi latihan kepada warga hospital dalam dan luar negara.

Pengasas persidangan itu yang kini Yang Di Pertua Pengasas Kehormatnya, Prof Dr Suchitra Paransuk berkata beliau pernah di perlekehkan apabila menyatakan bahawa kecacatan pendengaran boleh diatasi dengan neuro-otologi pada tahun 1972 lagi sekembalinya ke negeri Thai setelah tamat pengajian di luar negara.

Hari ini kerajaan Thai telah mula memberi subsidi kepada pembedahan implan koklear dan kini bidang neuro-otologi diiktiraf di seluruh dunia.

Beliau berkata walaupun pembedahan itu kini bergantung kepada peralatan dan dasar bantuan sesebuah negara, di beberapa tempat ia hanya boleh dimanfaatkan oleh mereka yang berkemampuan. Hal ini perlu diubah kerana setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat anugerah pendengaran, kata Prof Suchitra.

Persidangan AANOA bermula dari hari ini hingga 21 April. Ia terdiri dari pelbagai bengkel mengemukakan teknik terkini dalam pembedahan telinga. Peserta juga dapat menyaksikan sebuah pembedahan yang dijalankan secara langsung.

Presiden AANOA, Prof Dato’ Dr Lokman Saim, peserta dan penceramah dari Emiriah Arab Bersatu, Negeri Thail, Australia, Singapura, Indonesia dan Filipina telah menghadiri persidangan itu.