Asean Berhati-hati Dalam Hubungan Dengan China Dan AS
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
BANGI, 10 April 2012 – Asean boleh meraih faedah dari persaingan antara Amerika Syaikat dan Cina di rantau Asia Tenggara kerana kedua-dua kuasa besar itu mahu meluaskan pengaruh masing-masing di situ.
Seorang pensyarah antarabangsa di Metropolitan Universitry di Prague, Republik Czech, Dr Daniel Novotny berkata rantau ini sememangnya menjadi gelanggang politik antarabangsa.
Beliau berpendapat wujud perbezaan antara negara-negara Asen dalam dasar mereka terhadap kedua kuasa itu. Bagaimana pun beliau percaya negara-negara Asean lebih bimbang terhadap niat Cina di rantau ini dan berpandangan lebih positif terhadap Amerika Syarikat kerananya.
Memberikan pandangannya mengenai isu itu dalam satu seminar bertajuk “mendayung antara dua batu karang” yang merujuk kepada kedua kuasa besar dunia itu di sini hari ini, beliau percaya Asean lebih mencurigai China kerana ia lebih dekat dan telah mempamerkan diplomasi agresif dalam hal kedaulatan beberapa pulau di Laut China Selatan.
Prof Novotny bependapat bahawa Amerika Syarikat sebaliknya tidak memperlihatkan keinginannya menakluki wilayah, walaupun inginkan pengaruh yang lebih besar.
Dr Novotny yang telah membuat penyelidikkan lebih mendalam mengenai Indonesia dan berpandangan bahawa Jakarta mempunyai sikap yang agak rumit terhadap kedua negara itu.
Misalnya, Jakarta khuatir apakah China tidak akan cuba merebut kepulauan Spratly tetapi dalam pada itu Indonesia juga mempunyai hubungan perdagangan erat dengan China. China ialah rakan dagang utama Indonesia.
Bagaimanapun, Indonesia masih memerlukan Washington untuk mengimbangi status kedudukan kuasa di rantau Asia Tenggara.
Ini, katanya boleh dilihat ketika Indonesia dan Amerika melangsungkan latihan tentera bersama.
Tetapi dalam pada itu, ramai rakyat Indonesia, terutama yang beragama Islam, kurang senang dengan peranan yang dimainkan Amerika yang wujud sejak George W. Bush menjadi presiden dan melancarkan perang terhadap keganasan militan Islam di seluruh dunia.
Dr Novotny mendakwa beberapa kajian menunjukkan masih ada sentimen anti-Amerika berikutan pencerobohannya di Afghanistan dan Iraq.
Bagaimanapun pemerintah Indonesia bekerjasama rapat dengan Amerika dalam kempen membenteras kumpulan pelampau Islam.
Beliau kini adalah dalam rangka lawatan syarahan ke beberapa Kolej di Malaysia.