Usaha Meningkatkan Penggunaan Tenaga Suria
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi dan Saiful Bahri Kamaruddin
BANGI, 26 April 2012 – Malaysia sepatutnya sudah boleh menggunakan tenaga alternatif seperti suria, angin, ombak dan biomas memandangkan ia menghadapi kemungkinan menjadi sebuah negara pengimpot minyak dalam tempoh tiga tahun ini.
Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat menjelang tahun 2015 Malaysia akan mula mengimport lebih bahan api dari apa yang di eksportnya. Ini menunjukkan betapa pentingnya ia berusaha mempopularkan penggunaan tenaga alternatif dari sekarang.
Seorang penyelidik SERI, Dr Sohif Mat berkata oleh sebab itu keperluan terhadap sumber tenaga alternatif amat diharapkan. Antara sumber alternatif yang boleh digunakan adalah tenaga dari suria, angin, ombak dan biomass.
Dr Sohif menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang sangat bertuah kerana memperolehi sinaran matahari hingga 12 jam sehari.
SERI sendiri telah menjalankan penyelidikan mengenai usaha demikian dan antara kemudahan penyelidikan canggih dan terkini yang telah dijalankannya termasuk Taman Penyelidikan Tenaga Suria dan pelbagai makmal penyelidikannya.
Beliau telah pun melaksanakan suatu kaedah mudah membuat sel memerangkap tenaga suria menggunakan bahan plastik yang dilakukan penduduk sebuah kampung di Cendering Kuala Terengganu.
Sel-sel tenaga suria itu boleh dipasang dengan mudah dan cepat oleh orang kampung dengan sedikit bimbingan. Ini sebenarnya telah membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
Hampir keseluruhan proses pembuatan sel itu dicipta SERI yang berjaya menghasilkan sel sebaik yang dibuat oleh industri pembuat yang menggunakan kaedah automatik canggih.
Sel suria yang dibuat oleh orang-orang kampung itu didapati berjaya menghasilkan tenaga yang diperlukan hingga mereka kini telah mengeksportnya ke Bangladesh untuk menampung kehendak tenaga letrik di kawasan terpencil yang menghadapi masalah mendapatkan tenaga eletrik.
Ini menunjukkan bahawa sel tenaga suria demikian boleh diusahakan di kampung dan boleh menyediakan tenaga eletrik ke kampung-kampung terpencil yang jauh dari rangkaian jaringan eletrik negara.
Dr Sohif curiga kiranya saintis tempatan tidak peka terhadap usaha memantapkan penggunaan tenaga alternatif, negara barat akan mengambil alih usaha itu dengan mempatenkan berbagai teknologi berkaitannya. Yang rugi nanti ialah negara membangun seperti Malaysia.
SERI juga sudah menghasilkan sel suria untuk dipasang di atas bumbung rumah menggantikan panel sel suria yang terdapat di pasaran sekarang yang banyak dipasang di rumah-rumah di Lembah Kelang yang bukan saja mahal tetapi berat.
Ia juga telah menghasilkan sel suria lain namun ianya masih terlalu mahal untuk digunakan dan SERI sedang menjalankan kajian untuk menghasilkan satu sistem penggunaan tenaga suria yang murah dan mampu dimiliki oleh semua.
Dr Sohif berharap Malaysia akan bergiat dalam membangunkan atau membuat kajian berkaitan usaha menggunakan tenaga yang boleh digunakan secara berulangan (renewable) kerana jika tidak dilakukan ianya pasti akan dipelopori oleh negara-negara barat.
Pakar-pakar penyelidik dan saintis SERI telah juga mula menjalankan penyelidikan penggunaan tenaga berulangan yang merangkumi sumber-sumber lain daripada suria termasuk angin, sel suria lanjutan, sistem suria haba, bahan lestari dan biodisel.
Mereka juga sedang mengkaji kesan penggunaan tenaga alternatif seperti tenaga suria kepada masyarakat.
Dalam pada itu, kekuatan SERI adalah pada dua kajian bersangkutan sel suria lanjutan dan sistem suria haba.
Dalam usaha memanfaatkan tenaga matahari SERI juga cuba mengaitkannya dengan faktor penggunaan berbagai bahan binaan yang digunakan dalam bangunan.
SERI percaya penggunaan bahan bina yang lebih baik dan lebih mesra suria dan iklim akan dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga.
Maka dengan itu rumah tenaga suria lebih menjimatkan kos penggunaan bahan api berbanding apa yang berlaku dalam rumah yang ada sekarang.
Dr Sohif berkata peningkatan penggunaan tenaga suria akan dapat mengurangkan pencemaran khususnya pengeluaran karbon dioksida yang dihasilkan oleh penjanaan kuasa mengguna minyak selain mengurangkan penggunaan minyak untuk menjana tenaga. Penambahan karbon dioksida telah membawa kepada peningkatan suhu alam sekarang.