Dua Produk R&D UKM Mendapat Sambutan Luar Jangka Di MAHA 2012

KHAMIS, 20 DISEMBER 2012 14:49

Rencana dan foto oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 20 Dis 2012 – Dua produk hasil R&D Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cilibangi dan pengcas solar Greenfinity-x mendapat sambutan di luar dugaan pada expo MAHA 2012 baru-baru ini.

Semua sos, pencicah, jeruk Cilibangi dan anak pokok Cilibangi beserta baja dan racun serangga untuknya habis dijual dalam tempoh expo sembilan hari itu.

Turut mendapat sambutan luar jangka adalahsebuah alat pengcas solar Greenfinity hasil R&D Prof Madya Dr Nowshad Amin daripada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.

Alat itu bukan saja mampu mengecas telefon bimbit malah tenaga keterbaharuan di simpan dalam bateri kecilnya mampu digunakan untuk memasang lampu kecil dan boleh membekalkan tenaga menggerakkan peralatan elektronik kecil.

Ia dipamerkan digerai Cilibangi untuk mendapatkan maklumbalas dari pengunjung bagaimana pun semua yang dipamerkan itu habis dijual pada harga RM150 sebuah.

Dr Nowshad kini sedang bergiat untuk mengeluarkan pengcas solar generasi ke-2 khusus untuk mengcas komputer riba.

Ketua Pegawai Eksekutif Serotech Sdn Bhd, Puan Sharifah Nur Rahimah Syed Alias memberitahu bahawa semua produk utamanya seperti benih Cilibangi, anak pokoknya, bungkusan permulaan menanamnya, sos, pencicah dan jeruk cili hijau Cilibangi menjadi tumpuan pengunjung.

“Walaupun kami kehabisan bekalan semua produk itu, kami tetap menerima tempahan daripada pelanggan yang sudah mengetahui kelebihan Cilibangi.

“Buat masa ini kami sedang berusaha memenuhi semua tempahan dan permintaan untuk dihantar ke rumah pembeli.”

Semua produk nilai-tambah menggunakan Cilibangi, hasil R&D saintis pembiakbakaan Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri, dikeluarkan dengan kerjasama kilang dan pengusaha tempatan.

 
Puan Sharifah Nur Rahimah berkata pihaknya mensasarkan MAHA 2012 sebagai landasan untuk memperkenalkan sos-sos dan produk nilai-tambah lain yang menggunakan Cilibangi.

Ia juga bertujuan mencuba memasarkannya selain mendapatkan maklumbalas pelanggan mengenai semua produk itu untuk membaiki lagi produk sebelum melaksanakan pengeluaran besar-besaran.

MAHA 2012 juga menunjukkan peralatan menanam Cilibangi mempunyai pasaran apabila ramai pelanggan menunjukkan minat terhadap sistem fertigasi, baja dan ubat serangga.

Serotech akan mengambil bahagain dalam Green Exhibition yang akan dilangsungkan di Pusat Expo Mid Valley di Jalan syed Putra Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Dis ini.

Puan Sharifah Nur Rahimah berharap UKM dapat mempromosi semua produk nilai-tambah Cilibangi itu di kedai dalam kampus manakala orang ramai yang berminat boleh memesannya secara online di www.cilibangi.comatau datang sendiri ke Cilibangi House di Bangunan Wawasan, kampus UKM, Bangi.

Syarikat itu juga menyediakan penghantaran ke rumah bagi pelanggan yang membuat tempahan melalui internet. Buat masa ini penghantaran adalah untuk kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Serotech menjual anak pokok Cilibangi pada harga RM5 sepohon bagi cili pedas dan sederhana pedas; RM10 untuk sebungkus pemula anak pokok Cilibangi.