Kejuruteraan Kimia Berpotensi Merevolusi Perubahan Iklim

SELASA, 18 DISEMBER 2012 08:56

Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 15 Dis 2012 –Lebih daripada 200 orang pelajar kejuruteraan kimia dari 12 buah universiti dalam negara mengambil bahagian dalam suatu program yang memberi kesan terhadap masa depan profesi ini untuk melindungi alam sekitar dari pencemaran.

Simposium tiga hari Kejuruteraan Kimia, NACES 2012 yang bermula semalam (Dis 14) memberi petanda baik mereka yang terlibat dalam profesi ini dapat melaksanakan usaha menangani perubahan iklim dengan menggunakan teknologi hijau.

Mereka dijangka melakukan suatu revolusi dalam perubahan iklim dengan menggunakan teknologi hijau.Ini dapat dilihat daripada persembahan pelajar kejuruteraan itu.

Simposium yang bermula semalam dianjurkan oleh UKM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Ia memberi petanda baik masa depan bidang ini yang berpotensi melindungi dan memelihara alam sekitar.

Pengarah NACES 2012, Nor Ilham B. Mohd Norin memetik kata-kata pembuat filem pemuliharaan alam sekitar, David Attenborough:  “Bagaimana saya boleh bersemuka dengan cucu saya kerana mengetahui apa yang terjadi pada dunia tetapi telah tidak melakukan apa-apa”

Pelbagai pertandingan diadakan bagi peserta seperti Penulisan Karangan Teknikal, Video Teknikal dan persembahan Powerpoint, pertandingan ceramah bahasa Melayu, kajian kes dan pameran rekaan loji.

Ia bertujuan untuk melatih pelajar untuk mengamalkan ilmu kreatif serta dapat pula mencipta teknologi yang mesra alam.

  
Salah satu acara yang menarik adalah pameran ‘rekaan loji’. Dengan menggunakan bahan yang dikitar semula, pelajar berjaya mencipta satu model loji yang mesra alam. Ia bertujuan untuk mengurangkan pengeluaran gas C02 ke dalam atmosfera.

Idea lain termasuk menggunakan bahan buangan pertanian untuk menghasilkan ethanol, menyerap CO2 oleh Alga dan menukarkannya menjadi bio-fuel, menggabungkan tenaga solar dengan reaktor untuk menghasilkan tenaga adalah antara beberapa cadangan yang telah dikemukakan.

Secara keseluruhannya, idea pelajar-pelajar itu memberi harapan perubahan iklim dapat di tangani dengan cekap dengan menggunakan alam sebagai penyelesaian. Salah satu contoh adalah alga yang memerlukan konsentrasi CO2 yang tinggi untuk hidup.

Apa yang boleh dikagumi adalah kebolehan peserta berinteraksi dan mampu menyampaikan idea mereka dan menerangkan rekaan mereka dengan mengunakkan bahasa yang mudah, sesuatu yang jarang dimiliki oleh orang yang berkecimpung dalam bidang teknikal.

Hadir pada upacara pembukaan itu adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Ir Dr Mohd Marzuki Musatafa, para pensyarah dan pelajar.