Cabaran Perniagaan UKM Untuk Memupuk Bakat

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2012 09:59

ukm tech 1

Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 23 Feb. 2012 – UKM Technology Sdn Bhd, anak syarikat UKM akan mengadakan suatu program cabaran perniagaan, ‘UKM Business Challange’, mencari bakat untuk diasuh dan dilatih menjadi pemimpin dalam dunia perniagaan.

Ia akan bekerjasama dengan Yayasan Khazanah Malaysia untuk memilih pelajar yang sedang berada di tahun akhir mana-mana program sarjana di UKM untuk menjalani latihan internship itu.

Matlamatnya adalah untuk mengasah bakat pelajar menjadi pemimpin yang berkebolehan serta bijaksana dalam dunia perniagaan.

Pelajar yang berjaya dipilih akan diberi peluang untuk menjadi pelatih dalam bidang perniagaan strategik.

Program itu merangkumi pengalaman menangani masalah dan tugasan dalam dunia perniagaan. Peserta perlu memberi idea baru dan mencari penyelesaian yang inovatif untuk menghadapi masalah harian dan strategik perniagaan.

Selain menjadi suatu pengalaman yang dapat memberi manfaat kepada pelajar dan syarikat yang menjadi tuan rumah, apa yang diharapkan dari program itu ialah:

-Melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang di perlukan oleh dunia perniagaan sekarang.

-Memberi pengalaman di tempat kerja dan menangani isu yang timbul di dalam kerja.

-Meningkatkan nilai pasaran pelajar sebagai pekerja selepas mendapat pendedahan dunia perniagaan sebenar.

-Mengeratkan hubungan Universiti dan Industri dalam penyelidikan, pengajaran, latihan dan rundingan.

Mereka yang terpilih dikehendaki mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh syarikat di mana mereka menjalani latihan. Hadiah wang tunai juga akan diberikan kepada mereka yang layak.

Program itu adalah sebahagian usaha UKM untuk menanamkan semangat keusahawanan dalam diri pemimpin yang akan datang.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Penolong Pengurus UKM Tech, Encik Izani Syafiq bin Samsudin di talian 03 8921 3545 atau email syafiq@ukmtech.com.