Penerbit UKM Memenangi Anugerah Buku Negara 2012

ISNIN, 20 FEBRUARI 2012 14:17

anugerah buku 1

Oleh Abdul Ghani Nasir

Foto oleh Penerbit UKM

BANGI, 16 Feb. 2012 – Tahap profesionalisme yang tinggi dalam penerbitan ditambah dengan ketelitian membawa tuah kepada Penerbit UKM apabila dipilih menerima Anugerah Buku Negara, kategori Buku Biografi Terbaik pada awal bulan.
Anugerah untuk buku Biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot itu adalah penghargaan daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara dan The Oxford Centre for Excellence, United Kingdom.

Ia disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin di satu majlis di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Cetakan pertama buku itu sebanyak 2,000 naskhah sudah pun habis dijual dengan cetakan kedua kini sudah ada dalam pasaran.

Diterbitkan pada 2011 ia diusahakan oleh tiga pengarang – Nik Anuar Nik Mahmud, Muhammad Haji Salleh dan Abdul Ghapa Harun.

Allahyarham Nik Anuar adalah mantan Profesor Sejarah dan Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr Muhammad berkhidmat di Pusat Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang manakala Ghapa adalah pensyarah kanan di Program Sejarah, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Ketua Penerbit UKM, Prof Dr Kamaruddin M Said memberitahu usaha menulis buku itu dimulakan sejak 1992 lagi dengan peruntukan RM400,000 diberikan oleh Yayasan Tun Abdul Razak.

Buat masa ini buku itu dijual dalam edisi asal Bahasa Melayu dengan edisi Inggeris giat diusahakan dan dijangka siap tidak lama lagi.

“Masa yang agak lama diambil memandangkan banyak penyelidikan perlu dijalankan termasuk di United Kingdom tempat Allahyarham Tun Razak belajar dan mula bergiat dalam politik.

“Segala fakta yang diselidik dikumpul dan ditulis oleh tiga pengarang berkenaan lalu diteliti oleh pengerusi dan anggota jawatankuasa Yayasan Tun Razak.

“Bagi generasi muda bahan dalam buku ini amat penting kerana setelah membacanya mereka pasti boleh memahami dasar digubal pada era Tun Razak dan kemudian diimplementasikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tun Razak sebenarnya adalah seorang pemikir yang bijaksana dengan menggubal dan menampilkan idea-idea original membela anak bangsa malah beliau sudah pun melihat kebaikan 1Malaysia lantas mewujudkan perkongsian kuasa di negara ini,” kata Prof Kamaruddin.

Dalam catatan pada buku itu, Prof Kamaruddin menjelaskan Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua ialah arkitek utama dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Ketika memimpin Malaysia, setelah terjadinya peristiwa 13 Mei 1969, beliau menyusun strategi serampang dua hala supaya negara mencapai pembangunan ekonomi yang pesat dan mantap serta memulakan langkah penyusunan semula struktur ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau memperkenalkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang terbukti berjaya membantu proses pembangunan negara untuk jangka panjang.

Buku itu memaparkan liku-liku kehidupan, perjuangan, visi, misi dan pengorbanan Tun Razak sebagai seorang negarawan dan patriot Malaysia.

Antara tajuk penting yang dipaparkan dalam buku itu adalah; kelahiran seorang patriot, pengalaman di bawah pemerintahan Jepun, menimba ilmu di England, berjuang dalam UMNO, penggubalan Perlembagaan Persekutuan, pembentukan Malaysia, menangani kontrontasi Indonesia, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, politik permuafakatan Barisan Nasional dan banyak lagi.

“Kebanyakan nukilan dalam biografi ini ialah hasil penyelidikan dan pengumpulan maklumat yang komprehensif dan berwibawa oleh tiga tokoh akademik yang berpengalaman luas. Banyak perkara yang dinukilkan belum pernah diketahui umum sebelum ini,” tegas beliau.

Sebelum itu pada 2008, buku ‘Rupa dan Gaya: Busana Melayu’ karangan Azah Aziz terbitan Penerbit UKM turut memenangi empat anugerah, ia itu Anugerah Buku Dewasa (Bukan Fiksyen); Pereka Bentuk Terbaik; Editor Terbaik dan juga Penerima Anugerah Buku Terbaik (Hadiah Tinta Perdana) tahun itu.

Edisi keduanya diterbitkan pada 2009.

.