Warga Kerja PPUKM Juara Perarakan Maulidur Rasul

KHAMIS, 09 FEBRUARI 2012 00:00

maulidurrasul1

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Feb. 2012 – Pasukan Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Cheras memenangi pertandingan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat UKM 2012/1433H di sini hari ini.

Pasukan Perpustakaan Tun Sri Lanang mendapat tempat kedua diikuti dengan Gugusan Kuala Lumpur tempat ketiga, Jabatan Pendaftar keempat dan Jabatan Pembangunan & Penyelenggaraan.

Hampir 1450 warga kerja UKM terlibat dalam acara perarakan dimulakan pada pukul 8 pagi selama hampir 1½ jam melalui kawasan kampus utama di sini. Sejumlah 19 pasukan telah mengambil bahagian dengan setiap satu kumpulan disertai 60 warga kerja atau lebih. Satu lagi pasukan mewakili pengurusan kanan UKM juga turut berarak.

Perarakan kemudiannya berhimpun di Dectar (Dewan Canselor Tun Abdul Razak) untuk acara persembahan nasyid, bacaan Al-Quran dan forum.

Satu pameran bertajuk “Khazanah Ulama Nusantara Pewaris Rasulullah SAW” turut diadakan di Dectar hari ini dan akan dipindahkan ke Foyer Bangunan Canselori dari 14 hingga 21 Februari.

Pameran itu bertujuan memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW melalui sumbangan ulama sebagai pewaris Nabi.

Ia juga untuk menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan ilmu pengetahuan, memperkenalkan sumbangan ulama Nusantara dalam bidang keilmuan dan memberi kesedaran tentang ketokohan ilmuwan dan sarjana Islam serta kehebatan karya-karya mereka.