Autonomi Akan Tingkatkan UKM Ke Arah Kecemerlangan
KHAMIS, 26 JANUARI 2012 20:48
Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Idris
BANGI, 26 Jan. 2012 – Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yakin status autonomi yang diberikan kepada UKM hari ini akan menjadikannya lebih berkesan dalam usahanya bergerak ke arah kecemerlangan.
Dalam amanatnya kepada warga kerja dan pelajar UKM berikutan dengan penganugerahan itu, beliau berkata:“Hari ini kita diberikan surat oleh Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan bahawa kita diberi status autonomi penuh.
Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua warga kerja UKM yang telah bekerja keras untuk membolehkan kita mencapai status ini. Ia adalah satu penghargaan kerana autonomi tidak diberikan dengan mudah. Kita telah buktikan kita berkeupayaan untuk menguruskannya sendiri.
Empat bidang kita yang dipantau menunjukkan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) terdiri daripada kalangan yang terpilih mampu membuat keputusan dalam bidang-bidang kritikal baik kewangan mahupun pun modal insan.
Senat kita juga berupaya membuat keputusan bagi pihak agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pihak Perbendaharaan.
Kini dengan adanya autonomi keputusan mengenai modal insan terletak pada pihak LPU. Bagi kewangan bukan semua hak diberikan tetapi saya kira ia diberikan secara berperingkat. Kita telah berunding dalam sesetengah perkara di mana kita diberikan autonomi seperti batas keputusan bersabit kewangan ditingkatkan iaitu keputusan mengenai apa yang boleh dibuat di peringkat lembaga yang tidak perlu dirujuk kepada perbendaharaan.
Ini akan mempercepatkan urusan. Keputusan yang kita buat boleh dilaksanakan tanpa perlu menunggu lagi.
Inilah ertinya diberikan kuasa autonomi bagi kita iaitu ia berserta dengan tanggungjawab dan kebertanggungjawaban. Lantas kita boleh membuat keputusan lebih cepat dan inilah yang akan menggerakkan kita ke arah kecemerlangan. Jadi inilah kuasa autonomi di peringkat universiti.
Saya mahu pihak fakulti dan PTJ faham bahawa kuasa autonomi akan diserahkan ke bawah. Sebagai contoh mulai sekarang fakulti dan institut harus tahu bahawa autonomi bermakna mereka turut memikul sama tanggungjawab dan kebertanggungjawaban. Perkara ini akan kita bincangkan bersama.
Kita akan memperuntukkan sejumlah wang untuk gaji warga kerja dan seterusnya anda mesti tahu cara menguruskan hal ehwal semua yang terbabit.
Semangat bertanggungjawab, cekap dan berkesan mestilah turut dipikul semua yang terlibat jika tidak kuasa itu tidak akan bermakna.
UKM memainkan satu peranan besar dalam membentuk tata atur cara pengurusan baik dan alat untuk mengukur sama ada sesebuah universiti itu sudah bersedia untuk menerima autonomi.
Bersama dengan ini kita juga sedang membangunkan satu lagi pengukur iaitu untuk menaksir kos sesuatu program.
Apa yang kita sudah lakukan adalah mengetahui keperluan bagi gaji warga kerja, sumber menguruskan sesuatu program dan faktor yang terlibat dengan kos.
Pelajar minimum diperlukan untuk mengadakan sesuatu kursus dan ia akan disandarkan kepada nisbah pelajar-pengajar.
Kita akan peruntukkan sejumlah wang berdasarkan jumlah pelajar. Kiranya anda tidak berupaya memikat pelajar dengan tenaga pengajar yang cekap tentunya ada sebabnya.
Mungkin kursus berkenaan tidak lagi relevan atau anda tidak ada tenaga pengajar yang benar-benar cekap. Apa pun fakulti perlu memikirkan sendiri semasak-masak perkara ini. Anda mesti kaji apa yang perlu dilakukan bagi mengatasi keadaan begini atau anda akan kehilangan wang peruntukan terbabit.
Anda harus belajar bagaimana perlunya kebertanggungjawab dan tata cara kos berkesan hingga ke tahap fakulti.
Anda mesti memikirkan apakah bentuk tindakan yang harus dilaksanakan seperti mungkin perlu meorientasikan warga kerja atau menjalankan program lain.
Fakulti harus ambil perhatian. Anda mesti memikirkan cara lebih cekap menguruskan belanja untuk mendapatkan warga kerja akademik dan sokongan kerana ia melibatkan wang yang sudah diperuntukkan.
Pihak Pendaftar atau Bendahari tidak lagi menjalankan tugas itu. Sudah pasti kita akan anjurkan sesi latihan mengenai pengurusan untuk ketua jabatan, dekan, timbalan dekan serta juga kursus kepemimpinan. Kita akan mempersiapkan warga kita untuk menghadapi autonomi.
Akhirnya ia akan membuat universiti lebih kos-berkesan sedang kita bergerak ke arah kecemerlangan dan meningkat ke tahap sebagaimana kita mahukan iaitu universiti dengan kuasa autonomi.
Kita sudah pun ada rancangan transformasi untuk UKM dan kini kita mesti menggunakan kuasa autonomi ini untuk bergerak ke hadapan demi mencapai matlamat kita untuk menggarap kecemerlangan.
Rancangan transformasi kita mempunyai beberapa ciri dan salah satu daripadanya adalah nic dalam lapan bidang.
Jadi kita boleh fokus dan bergerak terus dengan kumpulan multidisiplin untuk bekerjasama bagi mencapai impak lebih hebat.
Kita mampu mencapai ini dalam bidang penyelidikan kita sebagaimana anda dapat lihat dalam Taman Inovasi kita…iaitu Taman Tenaga Keterbaharuan yang menjadi paparan akan kejayaan kita atau khidmat masyarakat yang kita sedang cuba giatkan khusus dalam lapan nic untuk penglibatan dan pembangunan atau bidang lain dalam arena pendidikan.
Saya yakin inilah jalan bagi kita untuk membaiki mutu dan menarik pelajar mengikuti program yang kita sediakan.”