Latihan Pelengkap Kepada Ilmu, Canselor UKM
RABU, 01 FEBRUARI 2012 10:14
Oleh Radzuan Ghazali
Foto oleh Abdul Raai Osman
BANGI, 31 Jan. 2012 – Semua pelajar UKM hari ini diseru menjadikan latihan sebagai pelengkap kepada ilmu pengkhususan yang mereka pelajari kerana ia penting apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak.
Canselor UKM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkata segala ilmu dan kemahiran yang dimiliki dengan menyertai kegiatan beruniform akan membantu mereka menjadi warga berdisiplin, patuh kepada peraturan, setia kepada pasukan dan memelihara nama negara.
Tuanku Muhriz yang juga Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus telah merasmikan Kompleks Kesatria di Bangunan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PELAPES), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Kompleks dua tingkat berharga RM6 juta itu menempatkan empat badan beruniform iaitu PALAPES, Kor Suksis Polis DiRaja Malaysia, Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM). Ia telah mula diduduki pada bulan September lepas.
Tuanku Muhriz berkata UKM memberi pengiktirafan yang tinggi kepada pasukan beruniform di mana peserta selain memperoleh penilaian daripada kursus kokurikulum yang disertai dapat pula membentuk keperibadian mulia dengan disiplin yang tinggi beteraskan nilai-nilai murni.
Baginda berharap semua pelajar yang menamatkan latihan dalam pasukan masing-masing akan meneruskan khidmat mereka sebagai sukarelawan dalam pasukan yang mereka sertai.
Malaysia memerlukan khidmat mereka sebagai sukarelawan terlatih, profesional dan berfikiran kreatif untuk terus meningkatkan keamanan dan kesejahteraan kepada masyarakat dan negara, tambah beliau.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Pengerusli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Zulkifli A. Hassan, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia mewakili Panglima Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Dato’ Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor hadir di majlis perasmian.
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Dr Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan aluannya berkata perasmian itu amat bersejarah kepada UKM kerana konsep kompleks adalah selari dengan inovasi yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk berkongi kemudahan latihan bagi badan-badan beruniform.
Ia juga bukan sekadar perkongsian secara fizikal tetapi juga adalah simbol kerjasama di antara badan-badan beruniform yang perlu diterap dari peringkat awal supaya ia menjadi budaya kolaborasi demi kepentingan negara.
Katanya, segala sumber yang ada dapat dimanfaatkan bersama secara optimum dan sinergi digembleng untuk memperoleh hasil yang diharapkan dengan lebih bermakna.
“Saya percaya terbinanya Kompleks Kesatria akan dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti yang dapat mengangat PALAPES, SUKSIS dan SISPA ke tahap kecemerlangan yang lebih unggul dan semangat patriotik yang membara, katanya.