Program Sarjana UKM Untuk Pegawai Polis Dilanjut

KHAMIS, 12 JANUARI 2012 00:00

polis1

Oleh Radzuan Ghazali

Foto Ahmad Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 12 Jan. 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya mengeluarkan seramai 63 orang graduan Sarjana Sains Sosial (Sains Kepolisan) sejak 2005 kebanyakannya terdiri dari pegawai kanan polis berkat kerjasama dengan Polis DiRaja Malaysa (PDRM).

Suatu Perjanjian Persefahaman (MoU) dimeterai di Bukit Aman di sini hari ini untuk melanjutkan kerjasama itu selama dua tahun lagi bagi memberi peluang kepada pegawai kanan polis melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian kepolisan. Ini adalah untuk melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan seiring dengan kehendak semasa.

Ia ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Mess Pegawai Kanan PDRM di sini dengan disaksikan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Prof Dr Hazita Azman dan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Dato’ Mortadza Nazarene.

Prof Sharifah Hapsah berkata persefahaman yang dijalinkan itu memberi manfaat kepada UKM dan PDRM dan menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat serta meningkatkan citra UKM melalui kerjasama erat dengan PDRM.

Melalui program itu, PDRM berupaya melahirkan para pelapis kepimpinan peringkat tertinggi yang profesional dan berilmu dalam bidang kepolisan sejajar dengan tuntutan semasa.

“Saya yakin dengan persefahaman ini banyak perkara boleh diterokai seperti penyelidikan dan penelitian bersama dalam disiplin sejajar dengan status UKM sebagai universiti penyelidikan,” kata Prof Sharifah Hapsah.

Tan Sri Ismail berkata kepolisan pada masa kini memerlukan strategi baru bersesuaian dengan kehendak semasa. Ia kini sedang meniti perubahan dari segi polittik, ekonomi, sosial, teknologi, persekitaran yang menuntutnya menjadi sebuah agensi terkehadapan seiring dengan perubahan itu.

Oleh itu pegawai polis perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan seiring dengan kehendak semasa. Ia kini tidak lagi bersifat permintaan dan ini mesti difahami setiap pegawai dan anggota polis sebagai asas dalam melaksanakan tugas mereka, katanya.

Kini serama 22 orang pegawai kanan PDRM dan tiga orang dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengikuti program selama tiga semester (18 bulan) sejak 1 Dis. lalu.

“Saya percaya proses pembelajaran secara formal ini dapat melahirkan lebih ramai warga yang berilmu pengetahuan selari dengan tuntutan semasa.

Ini kerana pendedahan dan pembelajaran dalam bentuk teori boleh diadunkan dalam pelaksanaan tugas harian bagi menyelesaikan isu kepolisan baik di peringkat domestik mahu pun di peringkat antarabangsa”, kata Tan Sri Ismail.