UKM Raikan Keputeraan ke 64 Tuanku Canselor Dengan Konsert Diraja
ISNIN, 30 JANUARI 2012 17:16
Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi
BANGI, 28 Jan. 2012 – Konsert Diraja UKM 2012 untuk meraikan Hari Keputeraan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-64 hari ini, di Dectar di sini malam ini, sungguh mempesona dan menghiburkan.
Pada majlis persembahan itu, selain memotong sebuah kek, Tuanku Muhriz yang juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, turut dihadiahkan cenderamata sempena keputeraan baginda iaitu sebuah gitar berjenama Ibanez.
Hadir sama Tengku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani binti Almahrum Tengku Besar Mahmud.
Pro-Canselor UKM, Tunku Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah turut berangkat ke majlis berkenaan.
Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan alu-aluan menjunjung kasih berikutan keberangkatan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar telah menyampaikan sebuah seloka dan serangkap pantun.
Konsert Diraja menjadi persembahan,
Gembira Menyambut Hari Keputeraan,
Diringi doa patik sekalian,
Tuanku sentiasa dirahmati Tuhan.
Dahulu The Beatles pernah berkata,
Will you still need me when I’m 64?,
Tuanku warga UKM sentiasa setia,
Di bawah lindungan Tuanku bertakhta.
Canselor disayangi Canselor dikasihi,
Patik sekalian dianugerah inspirasi,
Menjana ilmu mencipta inovasi,
Menempuh segala cabaran dengan berani,
Selamat datang seikhlas hati,
Kehadiran semua sangat dihargai,
Bersama kita turut merai,
Hari Keputeraan Tuanku Bistari.
Satu tahun sudah berlalu,
UKM melangkah menjejak mercu,
Autonomi dianugerah dua hari lalu,
Memantapkan ilmu kegemilangan terpacu.
Status autonomi penghormatan tertinggi,
Kecekapan tadbir urus sudah dipercayai,
Kewangan dan sumber manusia diurus dengan integriti,
Lembaga Pengarah dan Senat lebih berautoriti.
Maka berkobarlah semangat ke arah kecemerlangan,
Dalam pendidikan, penyelidikan mahupun kemasyarakatan,
Sukan kesenian tidak ketinggalan,
Meningkatan identiti dan jati diri Kebangsaan.
Orkestra UKM memartabat seni,
Didukung mahasiswa, kakitangan dan juga alumni,
Permata yang pintar juga menjadi ahli,
Turut memperkasa remaja dan komuniti.
Sudilah menikmati bersama-sama,
Alunan irama yang mempesona,
Dendangan kami moga menenang jiwa,
Menyegar kenangan sepanjang masa.
Prof Dr Sharifah mengakhiri kata-kata aluan dengan serengkap pantun:
Antan berbiku limar dibeli,
Hujung selisih se ela batik,
Perkenan Tuanku mencemar duli,
Menjunjung kasih jemala patik.
Sepanjang hampir dua jam konsert itu, para hadirin seolah-olah terpaku dengan persembahan berkonsepkan muzik orkestra dipimpin oleh tokoh seni tanah air Dato’ Dr Johari Salleh sebagai konduktor utama dan konduktor Orkestra UKM Mohamad Adzan Mohamad Fadzil.
Anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Zain Al-‘Abdin dan Tengku Sarah Rahayu binti Tengku Baharuddin turut memainkan piano pada persembahan khas mereka.
Malam diserikan lagi dengan persembahan penyanyi yang terkenal sebagai ‘Tom Jones Malaysia’ pada tahun 70-an, Najib Hanif yang menyampaikan lagu-lagu “Help Yourself”, “Delilah” dan Biar Bulan Bicara.
Seorang lagi artis jemputan, penyanyi popular Dayang Nurfaizah turut menghiburkan dengan persembahan memikatnya.
Hadirin dihiburkan juga oleh persembahan kumpulan tarian ARTISUKMA UKM, Trio PERMATApintar, Trio Perkasa Remaja, pelajar UKM, Mohd Iskandar Zulkifli, Nik Husna Nik Ali dan Nur Ilham Rameli.
Namun persembahan instrumental Tan Sri P Ramlee Dalam Kenangan, Malar Segar Indah dan Fantasia Abang Sayang serta Putera Puteri selain Gurindam Gamelan dendangan Orkestra UKM membuat para hadirin memberi tepukan gemuruh di akhir konsert hampir dua jam itu. Ia diikuti dengan Santapan Diraja.