Buku Menggariskan Kehidupan Harian Melayu Islam Di Patani Dilancarkan
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 17 Julai 2012 – Sebuah buku yang memperincikan suasana kehidupan Kaum Melayu Islam kontemporari di Patani dan telah menarik perhatian antarabangsa kerana memberi perspektif baru mengenai orang Islam di situ telah dilancarkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini minggu lalu.
Buku bertajuk “Muslim Merit Making in Thailand’s Far South” (Usaha Mengumpul Pahala Oleh Orang Islam di Selatan Thai) ditulis oleh Prof Dr Christopher M. Jolls, Felo Penyelidik di Pusat Kajian Umat Islam, di Institut Kajian Asia di Universiti Chulalongkorn.
Beliau menulis buku itu berdasarkan kajian antropologi yang dijalankannya di kawasan itu selama 10 tahun.
Patani adalah sebahagian daripada kawasan yang bergolak di selatan Thai dengan wujudnya perlakuan keganasan yang dikaitkan dengan perjuangan mendapatkan autonomi oleh kaum Islam di situ.
Tidak seperti buku lain mengenai Patani yang mengambarkan konflik dan keganasan di kawasan itu, buku Prof Joll memfokuskan kepada aspek kehidupan harian kaum Melayu Islam di situ.
Tema ‘Merit Making’ ialah konsep mendapatkan keredaan Allah untuk menerima ganjaran pahala. Maka itu buku itu memuatkan berbagai topik termasuk puasa, sembahyang fardu, sembahyang jenazah dan ibadah Haji yang diamal dan dilakukan orang Melayu Islam di Patani, ia itu aspek yang sering ditenggelami oleh keganasan dan perbalahan.
Ia menggariskan bagaimana masyarakat di kawasan Cabetigo Patani mengamalkan Islam dan aspek-aspek positif agama Islam.
Ditanya mengenai perjuangan orang Islam di Patani, Prof Joll berkata: “Saya bukanlah menidakkan kewujudan keganasan tetapi mereka yang bertanggungjawab melakukannya terdiri dari golongan yang kecil sahaja dan tidak menggambarkan situasi sebenar.”
Mereka yang terlibat dengan keganasan tidak mempunyai agenda khusus sebaliknya berlaku kerana timbul pelbagai isu tidak puas hati di kalangan orang Melayu Islam seperti persoalan identiti mereka dan ketandusan pembangunan di situ, tambah beliau.
Prof Joll berkata terdapat banyak perkara positif yang wujud di kawasan itu tetapi orang lebih suka memberi tumpuan kepada pengeboman dan aktiviti keganasan. Ada penulis yang pergi ke kawasan itu hanya mahu menyaksikan keganasan dan pulang menulis mengenainya.
Mereka ini sebenarnya telah memberi gambaran yang tidak tepat mengenai orang Melayu Islam di Patani. Selalunya insiden yang negatif akan lebih terpahat di ingatan orang ramai, katanya.
Prof Joll bertindak tidak sekadar sebagai seorang pemerhati akademik sahaja tetapi telah melibatkan diri dalam aktiviti harian rakyat di situ seperti menghadiri majlis perkahwinan dan berbagai perjumpaan penduduk.
Dengan itu beliau telah diterima baik oleh masyarakat Cabetigo dan ini memberikannya pengetahuan yang mendalam terhadap amalan agama mereka.
Tiga buah lagi buku turut dilancarkan dalam majlis itu terdiri dari kompilasi pelbagai penulis barat dan timur.
Buku-buku itu adalah ‘Social Science and Knowledge in a Globalising World’ disunting oleh Prof Wan Zawawi Ibrahim; ‘The Gaze of the West and Framings of the East’ disunting oleh Prof Shanta Nair-Venugopal dan ‘Malaysian Youth in the Global World: Issues and Challenges’ disunting oleh Prof Hazita Azman, Dr Bahiyah Abdul Hamid dan Zarina Othman.
Pelancaran buku-buku itu adalah antara aktiviti yang berlansung sebagai sebahagian daripada Persidangan Antarabangsa ke-8 Pengajian Malaysia (MSC8) yang dianjurkan UKM .
Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA); Prof Rashila Ramli, Pengarah Institut Kajian Oksidental (IKON), pelajar dan pensyarah turut hadir di upacara itu.