Kursi Kelestarian Industri Minyak Sawit Diwujudkan Di UKM
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 5 Julai 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menubuh suatu Kursi dibiayai Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) untuk menjalankan penyelidikan menjadikan industri sawit bukan saja lebih menguntungkan tetapi juga mesra alam.
MPOB akan menghulurkan dana berjumlah RM14 juta kepada UKM untuk menubuhkanKursi Pembangunan Industri Kelapa Sawit Untuk Ekonomi Yang Mampan. Ia bertujuanmembekalkan kepimpinan penyelidikan dalam bidang tertentu bagi melengkapi usaha penyelidikan industri sawit yang di jalankan MPOB selama ini.
Dana itu akan disampaikan dalam tiga ansuran, bermula dengan RM8 juta dalam masa terdekat diikuti dengan dua lagi ansuran berjumlah RM3 juta setiap satu.
Suatu memorandam persefahaman (MOU) telah dimeterai di sini hari ini ditandatangani oleh Naib-Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Saran Kaur Gill dan Timbalan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Khushairi Din menandatanganinya sebagai saksi.
Upacara itu disaksi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Dr Normala Abdul Rahim yang mewakili Menterinya, Tan Sri Bernard Dompok yang tidak dapat hadir.
Penubuhan Kursi MPOB itu akan mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan UKM dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Kursi itu akan menumpu kepada empat bidang penyelidikan; (i) Dasar dan Peraturan; (ii) Pendapatan dan Potensi Perniagaan; (iii) Masyarakat Madani dan Komuniti; dan (iv) Kelestarian Alam Sekitar. Keempat-empat bidang ini merupakan elemen penting dalam ekosistem perniagaan industri kelapa sawit.
MPOB yakin UKM adalah rakan kongsi yang sesuai untuknya kerana pada masa ini UKM sudah pun mempunyai dua Kursi berkaitan industri kelapa sawit atas biayaan Yayasan Sime Darby (YSD).
Kursi-kursi itu ialah Kursi YSD mengenai Perubahan Iklim dan Kursi YSD Sisa Sifar untuk Industri Minyak Sawit.
Tokoh penyelidik yang akan menyandang Kursi itu belum dipilih tetapi terdapat beberapa calon yang sedang dipertimbangkan.
Melalui kursi ini, pengalaman dan jaringan penyandang Kursi akan dapat dimanfaatkan untuk memberi dorongan kepada UKM dan MPOB melonjakkan penyelidikan mengenai isu-isu berkaitan minyak sawit.
Di samping itu, Kursi MPOB-UKM ini juga akan dapat meningkatkan kepakaran dan kemahiran tempatan melalui penyeliaan penyelidikan, latihan dan pengajaran.
Industri minyak sawit mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang di institusi seperti universiti awam, agensi-agensi kerajaan, entiti korporat, pusat penyelidikan dan badan-badan bukan kerajaan. Kerusi itu akan memupuk kerjasama dan kolaborasi strategik yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan dasar dan pembangunan ekonomi.
Kursi ini juga akan menyokong aktiviti jangkauan, termasuk penglibatan dalam proses pembentukan dasar dan penyebaran maklumat.
Syarahan umum, seminar dan bengkel akan dijalankan atas tajuk-tajuk yang berkaitan dengan industri kelapa sawit. Penemuan penyelidikan yang dipimpin Kursi ini akan disiarkan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi bagi memastikan penerimaan dikalangan komuniti akademik antarabangsa.
Penubuhan Kursi ini dijangka merangsang aktiviti akademik dan pembinaan kapasiti. Penyelidikan yang akan dilaksanakan di bawah Kursi akan menggabungkan penyelidikan dengan pendidikan dan latihan di peringkat pasca siswazah.
Dengan itu, Kursi ini dijangka akan mampu membangunkan modal insan dan kepakaran tempatan terutama dalam memastikan kelestarian industri minyak sawit. Bagi tujuan ini, kursus latihan dan lain-lain aktiviti bina kapasiti akan dijalankan bersama rakan kongsi yang berkaitan.
Pembiayaan berterusan diperlukan untuk memastikan kesinambungan penyelidikan dalam isu-isu di bawah Kursi ini. Dengan itu, peranan Kursi ini juga merangkumi aktiviti mendapatkan dana penyelidikan daripada pelbagai sumber seperti geran penyelidikan kerajaan dan swasta, sama ada dari luar atau dalam negara.