PERKASA Berjaya Memulihkan Mat Rempit
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 2 Julai 2012 – Kem Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) yang ditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya memulihkan remaja yang terbabit dalam kegiatan Mat Rempit supaya dapat berdikari dan menjadi anggota masyarakat yang berguna.
Penaung PERKASA, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata hasil penyelidikan mendapati remaja yang menyertai PERKASA menunjuk perubahan personaliti dan kewibawaan yang positif.
Berucap di majlis penutup Kem PERKASA remaja siri ke 3 dan ke 4 di sini hari ini, isteri Perdana Menteri itu berkata beliau kagum dengan usaha yang menggalakkan itu hingga berjaya mendapatkan pekerjaan untuk ramai daripada belia bermasalah itu.
Turut hadir di upacara itu ialah Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Saran Kaur Gill.
Seramai 32 orang perserta dari kem ketiga telah membuat persembahan hiburan di upacara itu bagi menunjukkan penghargaan mereka.
Siri ke-4 bermula dari 16 Mei hingga 16 Jun 2012 dengan penyertaan seramai 34 orang peserta manakala Kem ke-3 telah berlangsung dari 16 Oktober higga 30 Disember 2011 dengan penglibatan seramai 39 orang peserta disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari Projek Perumahan Rakyat Tun Razak.
Kem PERKASA dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyakat, Kementerian Belia dan Sukan dan DBKL.
Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu menyediakan peserta. Peserta-peserta terdiri dari mereka yang masih dalam perintah khidmat masyarakat (Community Service Ordinance CSO) atau yang sudah selesai menjalani perintah khidmat masyarakat mereka dan mengambil bahagian secara sukarela.
Kebanyakan peserta pernah didakwa dibawah seksyen 42 akta Jabatan Pengangkutan Jalan, iaitu menunggang motosikal secara merbahaya.
Kementerian Belia dan Sukan membantu memberi input dalam pembangunan kemahiran diri peserta dengan menyediakan penempatan latihan kemahiran serta peluang menyambung pengajian ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Dari segi profil sosio-ekonomi, kebanyakan peserta adalah dari kelas sederhana dan miskin, cicir dalam persekolahan dan terlibat dalam beberapa kes delinkuen sehingga disabitkan kesalahan di Mahkamah dan menjalani CSO.
Mereka berusia dalam lingkungan 17 hingga 24 tahun, kebanyakannya terdiri dari belia Melayu dan 2 orang lagi India. Sebahagian besar telah bekerja dan selebihnya menganggur. Profil psikologi peserta menunjukkan mereka terlibat dalam banyak gejala buruk lain selain merempit, iaitu seks bebas, rogol, lepak sepanjang malam, mencarut, mencuri, merompak, berjudi dan sebagainya.
Dalam beberapa sesi perkongsian masalah, data menunjukkan kebanyakan mereka datang dari keluarga yang kacau bilau, tidak mendapat sokongan keluarga, kawalan diri yang lemah dan tidak jelas dengan haluan hidup mereka.
Dengan itu modul yang diterapkan ke dalam kem menumpu kepada memperkasakan nilai tersebut. Kajian awal mendapati konsep diri, percaya diri, kemahiran komunikasi, kesangupaan bekerjasama, pengawalan emosi dan ketahanan diri mereka adalah rendah. Namun selepas tamat kem, data yang diprolehi mendapati kesemua aspek itu telah meningkat secara mendadak.
Kem PERKASA ketiga dan kekempat itu dilaksanakan dengan menggunakan modul berasaskan kem terdahulu yang ditambahbaik dan diperkemaskan lagi dari segi pembangunan emosi, rohani dan intelektual remaja yang ditekankan secara bersepadu dengan menggunakan pendekatan menyeluruh.
Peserta-peserta perlu melalui ke semua modul mengikut fasa-fasa tertentu.
Fasa pertama merangkumi Pembangunan Kendiri yang melibatkan pengenalan diri, emosi, mengurus komunikasi berkesan dan pembangunan rohani yang dilaksanakan di Pusat Latihan Polis Bantuan FELDA Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan.
Dalam modul kedua ‘Pemerkasaan Kendiri’ peserta telah menjalani pelbagai aktiviti lasak di antaranya ekspedisi berkayak ke Teluk Sekadeh, ekspedisi berlayar ke Pulau Syawal dan berkhemah sendirian. Aktiviti ini dilangsungkan di Outward Bound School, Lumut, Perak.
Untuk fasa terakhir, peserta melalui modul Kem Tebuka, iaitu Kursus Intensif Teknikal di IKBN. Pendedahan latihan kemahiran diberikan kepada mereka untuk mewujudkan minat kembali belajar serta memberi kemahiran asas sebagai keperluan pembinaan masa hadapan mereka.
Dengan peluang yang ada, peserta juga dapat memperbaiki kehidupan yang lalu dan seterusnya menjalani aktiviti-aktiviti sihat untuk kepentingan masa depan mereka.
Selepas menjalani Kem PERKASA peserta telah menunjukkan tanda-tanda perubahan diri yang positif dan semangat untuk memajukan diri.
Berdasarkan sesi temubual yang dijalankan dengan peserta-peserta Kem PERKASA 1, 2 & 3, seramai 70% daripada mereka telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai anggota Polis Diraja Malaysia, Polis Bantuan Felda, tukang masak, jurulatih di Outward Bound School Lumut, manakala bakinya memilih untuk bekerja sendiri dan masih belajar.
Bagi yang masih belajar di IKBN terutama peserta-peserta Kem PERKASA ketiga telah menunjukkan prestasi yang baik serta menerajui persatuan-persatuan yang terdapat di situ.
PERKASA UKM ditubuhkan pada Februari 2010 dengan misi utama untuk menjadi pusat kecemerlangan bertaraf antarabangsa yang mendalami isu-isu remaja melalui pelbagai pendekatan strategi pemerkasaan.