PPUKM Diiktiraf Sebagai Hospital Psikiatri Kerajaan
Oleh Harun Bintang
Foto Norasyikin Yusof dan Hasnan Musa
CHERAS, 16 Julai 2012 – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah diiktiraf sebagai hospital psikiatri kerajaan kerana memiliki kepakaran dan kemudahan dalam rawatan pesakit psikiatri.
Dengan itu PPUKM sudah pun diwartakan sebagai hospital demikian berkuatkuasa mulai 15 Jun 2010 lalu di bawah Akta Kesihatan Mental 2001.
Akta itu memberi kuasa kepada PPUKM mengambil berbagai tindakan terhadap pesakit demikian seperti kemasukan, penahanan, penginapan, jagaan, rawatan, pemulihan, pengawalan dan pelindungan orang-orang bercelaru mental.
Demikian kata Prof Dr Jaafar Md Zain yang mewakili Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM ketika merasmikan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MKKP) PPUKM minggu lalu.
Bertemakan ‘Kampus Selamat, Warga Sihat, Produktiviti Meningkat’ ia dipenuhi pelbagai aktiviti termasuk latihan dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api, pameran, seminar dan ceramah keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Program gaya hidup sihat seperti senamrobik & power walk, pemeriksaan kesihatan, berbasikal dan tayangan maklumat kesihatan pekerjaan serta konvoi bermotosikal turut dijalankan.
Prof Jaafar berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini PPUKM mencatatkan lima kes kemalangan jalanraya dan enam kes kemalangan lain seperti terjatuh lantai dan tindakan agresif pesakit terhadap kakitangan di dalam kawasan PPUKM.
Semua kes itu dianggap sebagai kes kemalangan ringan sahaja dan menunjukkan tahap kesedaran amat tinggi di kalangan warga PPUKM terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Selaras dengan perakuan Kementerian Kesihatan, PPUKM telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Keselamatan Pesakit (JKP) PPUKM dan telah pun menggariskan 15 ‘Goal Statement and Rationale’ di mana PPUKM telah pun melaksanakan 12 daripadanya secara berperingkat.
Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PPUKM, Prof Dr Noor Hassim Ismail berkata MKKP kali ini dilaksanakan sempena sambutan 40 Tahun Fakulti Perubatan.
Selain bermatlamat mahu berkongsi pengetahuan dan kemahiran terkini minggu itu juga turut menggalakkan kakitangan, penyelidik, pelajar, pembekal dan pelanggan ke arah aspirasi mencapai tempat kerja yang lebih selamat dan sihat untuk semua.
Prof Noor Hassim berharap peningkatan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan berterusan dengan pelbagai usaha digembeleng antara majikan dan pekerja untuk mencapai status budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja,.
Pengarah Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, Prof Dr Amran Abd Majid telah melepaskan suatu Konvoi Bermotorsikal yang disertai seramai 57 orang penunggang motosikal warga PPUKM dari DECTAR UKM ke PPUKM. Mereka termasuk Ketua Keselamatan UKM, Lt Kol (B) Juri Tasripan dan penunggang dari Sentral Eleganeers Club.
Pameran keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang disertai jabatan-jabatan di PPUKM dan beberapa agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bandar Tun Razak, Perkeso, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, PLUS dan Safety Lab Sdn. Bhd turut diadakan.