Rombongan Pegawai Tadbir UKM Menawan Puncak Gunung Kinabalu
Oleh Nastura Nasir, PKK
Foto Nastura Nasir dan Nur Azimah Mahmood
KOTA KINABALU, 30 Julai 2012 – Tarikh 11 Julai lalu mencatat sejarah bagi UKM apabila seramai 20 orang pegawai tadbirnya telah berjaya menawan Gunung Kinabalu dengan mengibar bendera UKM di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu tepat pada jam 7.02 pagi.
Program anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UKM (PERTADI) diketuai oleh Presidennya, En Azli Mohd Kasirun melibatkan seramai 30 orang pegawai termasuk lapan orang pegawai wanita.
Program itu menguji ketahanan fizikal serta semangat kerja berpasukan bagi membina keyakinan untuk mendaki gunung setinggi 4905.2 m dari paras aras laut itu.
Perjalanan bermula dengan penginapan di Mesilau Resort dengan pendakian ke Laban Rata dilakukan pada 8.30 pagi, 10 Julai lalu. Pendakian sejauh 7km ke Laban Rata itu cukup menguji ketahanan dengan struktur muka bumi yang bertangga, suhu yang sejuk dengan hujan yang bermula dari Checkpoint Layang-layang (KM5) sehinggalah di Laban Rata pada KM6.
Pada masa inilah segala jenis bekalan minuman isotonic dan mineral kelihatan seperti tidak mencukupi untuk menampung keletihan para peserta. Mujur di beberapa hentian terdapat bekalan air tidak dirawat yang menjadi sumber air bagi para peserta yang telah kehabisan bekalan. Segala bekalan makanan tenaga seperti energy bar dan coklat turut menjadi hidangan para peserta untuk mengembalikan tenaga.
Terdapat peserta yang mengalami kekejangan kaki akibat keletihan dan kesejukan. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan pendakian.
Sepanjang perjalan kami sering sahaja bertembung dengan warga tempatan bertindak sebagai “porter” mengambil upah membawa muatan ke Laban Rata. Melihatkan kekuatan mereka mengangkat beban yang banyak untuk mengharungi pendakian membuat kami berasa kagum dengan keupayaan mereka.
Secara keseluruhannya semua peserta berjaya tiba di Laban Rata pada jam 5 petang. Semua kelihatan keletihan dan yang tiba lewat disambut dengan tepukan gemuruh untuk menyuntik kembali semangat mereka.
Di Laban Rata peserta dipecahkan kepada dua kumpulan penginapan di situ dan di Gunting Lagadan. Seawal jam 2.30 pagi keesokannya selesai sarapan peserta berkumpul di Pondok Gunting Lagadan untuk sesi taklimat terakhir sebelum memulakan pendakian ke puncak dengan jarak 2.85km dari Laban Rata.
Meskipun masing-masing berbaju tebal dan menutup kepala, namun ia tidak dapat menghalang kesejukan menyerang hingga ke tulang. Di tambah lagi dengan suasana yang bergerimis dan berkabus.
Dalam kegelapan pagi, hujan gerimis dan berangin para peserta meneruskan pendakian yang amat mencabar. Terdapat situasi di mana para peserta terpaksa berjalan di permukaan berbatu yang licin, mendaki di celah-celah tebing dan berpaut pada tali.
Para peserta dimestikan untuk melapor diri pada guide di Pondok Sayat-sayat (KM7) dengan menunjukkan kad tag yang dipakai masing-masing sepanjang pendakian.
Selesai melapor diri, pendakian ke puncak diteruskan meskipun seluruh tubuh sudah menggigil kesejukan. Suasana hujan gerimis dan kabus tebal menghadkan pandangan. Yang jelas kelihatan hanyalah sinaran lampu kepala (headlamp) yang dipasang oleh para pendaki.
Semakin menghampiri puncak, cahaya matahari semakin kelihatan. Semangat yang semakin pudar kini kembali membara. Bertembung dengan beberapa rakan lain yang telah sampai ke puncak lebih awal menambahkan lagi kekuatan untuk terus mendaki dan menawan puncak.
Tepat jam 7.02 pagi, bendera PERTADI UKM berjaya dikibarkan di puncak Gunung Kinabalu oleh sekumpulan 20 orang yang berjaya itu termasuk tiga orang pegawai wanita. Di sini nama mereka yang berjaya sampai ke puncak dicatitkan oleh guide.
Keadaan telah semakin cerah dan ketika itu barulah disedari betapa luasnya kawasan yang dilalui untuk mendaki ke puncak itu. Peserta menghabiskan masa hampir sejam di puncak untuk bergambar dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah swt, dan bersarapan serta mengemaskan barang sebelum mula turun kembali ke Laban Rata dan ke ibu pejabat Kinabalu Parks melalui Timpohon sejauh 6 km.