UKM Dipuji Kerana Menganjurkan Latihan Pertolongan Kemanusiaan Di Arena Konflik
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 16 Julai 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipuji oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) kerana menganjurkan beberapa sesi latihan mengenai Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) di sini.
Ketua Perwakilan Serantau ICRC, Tobias Epprecht berbangga dapat mengadakan hubungan kerja yang amat erat antara ICRC dengan Fakulti Undang-Undang UKM.
Beliau berazam akan terus bekerjasama dengan UKM untuk mengukuhkan lagi hubungan mesra antara mereka.
Berucap di majlis makan malam Sesi Pengajaran Untuk Asia Tenggara dan Timur Asia yang ketujuh mengenai IHL di sini malam ini, Epprecht berharap lebih ramai peserta daripada institusi negara, ahli akademik dan pegawai kerajaan akan mengambil bahagian dalam sesi latihan seumpama yang akan diadakan.
Sesi yang bermula dari Isnin (15 Julai) berakhir Jumaat (20 Julai) ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.
Epprecht juga menyatakan akan menjalankan kempen komunikasi untuk meningkatkan kesedaran peranan ICRC sebagai sebuah badan kemanusiaan dan berkecuali dalam konflik bersenjata di seluruh dunia.
Beliau berkata ancaman kepada pekerja sukarela yang menghulurkan bantuan penjagaan kesihatan di zon perang dan halangan terhadap usaha membantu mangsa-mangsa konflik semakin meruncingkan.
Pemantauan yang lebih rapi terhadap penderitaan mangsa konflik bersenjata di Afrika Utara dan Timur Tengah perlu dijalankan. ICRC adalah sebuah badan kemanusiaan antarabangsa yang pertama berkhidmat di Libya pada bulan Februari 2011 semasa tercetusnya perang saudara di negara itu.
Beliau berkata serangan ke atas pekerja dan institusi yang membantu mangsa peperangan adalah salah di sisi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan peserta latihan akan diajar mengenai pencabulan demikian semasa program dijalankan.
Sesi latihan kali ini adalah yang ketiga diadakan oleh UKM selepas memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ICRC pada 2010 untuk membolehkan warga akademik dan siswazahnya mengambil ditempatkan di pejabat serantaunya di Kuala Lumpur.
Latihan yang sedang berlangsung sekarang bertujuan memperbaiki dan mengukuhkan pengetahuan undang-undang berkaitan dengan sengketa bersenjata dan tindakan keganasan yang lain untuk memupuk persefahaman di kalangan ahli akademik, pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dalam usaha bantuan kemanusiaan di medan konflik.
Ia meliputi pembentangan mengenai IHL oleh anggota akademik, pakar tentera dan ICRC serta kajian kes mengenai cabaran undang-undang yang dihadapi apabila menangani isu-isu kemanusiaan.
Di antara tajuk yang dibincang termasuk konflik bersenjata dan tindakan keganasan yang lain, perlindungan untuk mereka yang didera, bantuan dan tindakan kemanusiaan yang sesuai, kelakuan orang yang bersenjata, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perjuangan menentang keganasan dan penguatkuasaan IHL.