UKM Sertai Karnival Amal Hari Penyayang Kedah
Oleh Abd Razak Hussin
Foto Mohd Rushdy
ALOR SETAR, 7 Julai 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia adalah antara beberapa universiti yang mengambil bahagian dengan mengadakan pameran pendidikan di Karnival Amal Hari Penyayang selama tiga hari yang berakhir di sini semalam.
Ia dianjurkan Yayasan Sultanah Bahiyah untuk mengumpul dana yayasan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Ia dirasmikan oleh Pengurusi Yayasan, Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang juga Pro Canselor UKM.
Orang ramai yang mengunjungi gerai pameran pendidikan UKM telah diberi penerangan mengenai program akademik ditawarkan di peringkat prasiswazah dan pasca siswazah serta Program PERMATApintar. Tunku Puteri Safinaz turut mengunjungi gerai pameran UKM.
Pengunjung juga bertanyakan mengenai dana yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat siswazah serta peluang pekerjaan yang terdapat di UKM.
Terdapat juga alumni UKM yang berkunjung memperkenalkan diri. Tiga pegawai UKM bertugas mengendalikan pameran pendidikan itu.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan karnival seperti pelancaran Program Pemeriksaan Kesihatan Bergerak yang disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, pameran badan-badan amal, persembahan kesenian dan aktiviti sukan.
Turut berangkat ialah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah Binti Haji Hamidun dan pembesar Negeri Kedah.