Deng Xioping Tetapkan Haluan Hubungan Erat Antara Malaysia Dan China
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 18 Jun 2012 – Hubungan erat antara Malaysia dan China sekarang adalah hasil dari dasar-dasar pemimpinnya ketika itu Deng Xiaoping.
Seorang pakar penyelidikan mengenai negara China, Ezra F. Vogel, seorang Profesor Emeritus dari Harvard University, Amerika Syarikat berkata Deng telah melakukan beberapa perubahan dasar dalam hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara pada awal tahun lapan puluhan.
Perubahan dasar itulah yang telah menetapkan haluan hubungan antara China dan rantau ini yang masih wujud hingga ke hari ini.
Prof Vogel berkata walaupun China mula menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia dan negara-negara lain di rantau ini sejak tahun tujuh puluhan, pemimpin agung China itulah yang memberi jaminan ia tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia.
Dasarnya itu telah melegakan negara-negara rantau ini yang sebelum itu khuatir akan niat sebenar Beijing.
Prof Vogel berkata demikian dalam siri Syarahan Awam Harvard Ezra F Vogel Malaysia/Singapore yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Syarahannya bertajuk Deng Xiaoping: transformasi China dan hubungan beliau dengan Asia Tenggara.
Prof Vogel adalah pemegang jawatan Profesor Henry Ford II Emeritus bagi Sains Sosial di Universiti Harvard.
Beliau berkata apabila Deng mengambil alih teraju negara itu pada lewat tahun tujuh puluhan, Beijing menghentikan sokongan moralnya kepada gerakan-gerakan revolusi di Asia Tenggara hingga memansuhkan semua bantuan kepada kumpulan-kumpulan pengganas Komunis tempatan.
Ada pemerhati percaya langkah itulah yang memaksa Partai Komunis Malaya menghentikan perjuangan bersenjatanya pada tahun 1989. Ia merupakan suatu kejayaan besar demokrasi di Malaysia dan Singapura.
Deng juga dilihat sebagai pemimpin yang menyelesaikan isu Hong Kong yang telah berlarutan berabad-abad hingga menjadi duri dalam daging dalam hubungannya dengan Britain dan telah berjaya mengembalikan kedaulatan China ke atas pulau itu pada 1997.
Bagaimana pun, kata Prof Vogel, perubahan-perubahan positif dalam hubungan antarabangsa, termasuk hubungan yang lebih baik dengan Amerika Syarikat dan Barat, adalah titik permulaan bagi langkah Deng mentransformasi ekonomi China.
Prof Vogel menyifatkan liberalisasi ekonomi China pada dekad tujuh puluhan sebagai kejayaan Deng yang ulung hingga memulakan perjalanan negara itu ke arah menjadi sebuah kuasa besar ekonomi dunia.
Bagaimanapun, dasar memberi kebebasan ekonomi telah juga meningkatkan inflasi dengan mendadak hingga membawa penderitaan kepada rakyat biasa yang tidak pernah menghadapi pasaran terbuka.
Kekecewaan mereka mungkin mendorong kepada gerakkan tunjuk perasaan di Medan Tian An Men pada tahun 1989 yang berakhir secara tragik.
Di bawah pimpinan Deng, buat kali pertama dalam era moden, rakyat China menjadi kaya dan negara dihormati di peringkat antarabangsa. Sebelum ini Cina tidak pernah menjadi kuasa global tetapi dalam dua dekad selepas Deng menetapkan haluan barunya, ia meningkat sebagai sebuah ekonomi kedua terbesar di Dunia.
Dan buat kali pertamanya dalam sejarah, China telah bertukar arah di mana majoriti rakyatnya telah berhijrah mendiami kawasan bandar.
Prof Vogel berkata ramai pegawai-pegawai tingginya yakin China perlukan pembaharuan dan pembukaan selepas kegagalan dasar Mao Ze Dung pada dekad lima puluhan dan enam puluhan.
Deng sendiri di singkir oleh Mao ketika usaha melenyapkan suara perubahan apabila melancarkan ‘revolusi budayanya’. Apabila Deng mengambil alih selepas kematian Mao pada tahun 1976, beliau berikhtiar untuk membawa pembaharuan kerana pengalaman pahitnya itu. China tidak mampu untuk terus berada dalam kegawatan politik dan ekonomi.
Bagaimana pun Barat menganggap legasi Deng itu telah dicemari kejadian pembunuhan beramai di Medan Tian An Men pada tahun 1989. Kejayaan reformasi beliau hampir dilupakan kerana Barat telah melabelkannya sebagai pemimpin yang mengarahkan tentera bertindak terhadap penunjuk perasaan itu.
Walaupun ramai di Barat melihat tunjuk perasaan itu sebagai tuntutan reformasi demokratik, faktor lain seperti perubahan ekonomi secara mengejut yang menyebabkan inflasi meningkat sehingga 30% yang mendorong remaja secara terbuka menentang Parti Komunis yang telah berkuasa sekian lama.
Prof Vogel berkata isteri beliau Charlotte menggalaknya mengarang buku mengenai Deng dan negara China selepas sambutan hangat terhadap bukunya Is Japan Still Number One? pada tahun 2000.
Ketika itu Jepun kelihatan sedang mula di atasi oleh China.
Dan dengan adanya perubahan pandangan di Asia Timur, beliau menulis buku bertajuk Deng Xiaoping: the transformation of China and his relations with Southeast Asia, (Deng Xiaoping: transformasi China dan hubungan beliau dengan Asia Tenggara).
Prof Vogel pernah duduk di Jepun dan China serta membuat kajian ekonomi dan sosial di kedua-dua negara itu. Beliau juga fasih bertutur bahasa Jepun dan Cina.
Beliau telah menerima sepuluh ijazah kehormat dari universiti seluruh dunia. Pada tahun 2008, beliau menerima Pingat Centennial Sekolah Siswazah Harvard kerana sumbangannya kepada masyarakat.
Prof Vogel yang kini berusia lapan puluhan telah bersara dari tugas di Harvard pada tahun 2000.