Kecemerlangan Fakulti Perubatan Atas Landasan Pengorbanan Warga Terdahulunya
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 1 Jun 2012- Tanpa pengorbanan dan iltizam warga yang terdahulu, tidak mungkin kecemerlangan ini dapat di kecapi, titah DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) .
Bertitah di majlis sambutan ulang tahun ke 40 di Fakulti Perubatan UKM kelmarin baginda mengingatkan warga UKM untuk sentiasa setia kepada agama dan tradisi.
“Kita harus memperteguhkan tunjang asas nilai tradisi yang positif kerana pemodenan tanpa landasan nilai agama dan tradisi bangsa akan menjadikan kemajuan yang dicapai bersifat rapuh dan tidak dapat dilestarikan”.
Fakulti Perubatan di UKM bermula dengan serba kekurangan tetapi membawa niat murni. Matlamat pada masa itu adalah untuk menghasilkan doktor yang cukup bagi keperluan negara.
Kini selepas 40 tahun penubuhannya Fakulti Perubatan bukan sahaja berjaya menghasilkan doktor untuk keperluan negara tetapi untuk negara-negara di rantau ini. Sekarang ia juga melatih kepakaran dalam pelbagai peringkat kepada doktor dari luar negara.
Baginda bertitah “Fakulti Perubatan menerima pelajar antarabangsa dari 34 negara dengan majoritinya dari Asia Barat dan Eropah, inilah bukti yang menunjukkan kemampuan dan kecemerlangan Fakulti Perubatan dalam mendukung wawasan menjadikan negara lebih dihormati.”
Tuanku Muhriz turut mengingatkan bahawa dalam memenuhi tuntutan global, fakulti harus berpegang teguh kepada nilai dan tradisi yang telah menyumbang kepada kejayaannya.
Daripada memulakan operasinya hanya dari sebuah rumah dipimpin oleh Dato Dr Amir Abas, Fakulti tersebut telah banyak mencapai kejayaan bertaraf dunia dalam pelbagai bidang perubatan dari pembedahan lubang kunci hingga ke kejuruteraan tisu.
Tidak lama lagi Fakulti Perubatan juga akan melancarkan Advance Surgical Skills Centre (ASSC) untuk melatih doktor di rantau ini dalam kemahiran pembedahan lubang kunci.
Kini Fakulti Perubatan telah melangkaui impian para pengasasnya dan memperluaskan peranannya dari melatih doktor tempatan kepada melatih doktor di dunia.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin Naib Canselor UKM, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan Fakulti dan ketua-ketua Jabatan.