Masyarakat Harus Boleh Mengenal Pasti Kanak-kanak Pintar
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 24 Jun 2012 – Masyarakat perlu disediakan dengan prasarana untuk dapat mengenal pasti kanak-kanak pintar dan berbakat.
Ini akan dapat membantu kanak-kanak pintar yang mempunyai potensi tidak ternilai yang kini berhadapan dengan tekanan emosi kerana sering di salah anggap sebagai tidak berdisiplin dan tidak terkawal.
Penaung Pusat PERMATAPintar Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata tanpa wujudnya kesedaran demikian kanak-kanak pintar selalunya di salah anggap hingga ada kalanya tidak dipedulikan padahal masyarakat sepatutnya lebih prihatin terhadap keupayaan dan bakat mereka.
Berucap di majlis pelancaran Perkhemahan Musim Panas Perempuan MAWHIBA-UKM di sini hari ini beliau berkata suasana di mana kanak-kanak pintar itu dapat dikenal pasti dan dibantu harus wujud.
Perkhemahan selama tiga minggu itu disertai 52 orang pelajar termasuk 20 orang pelajar dari Arab Saudi dan dua dari Indonesia dengan 30 orang lagi dari Pusat PERMATAPintar UKM untuk memberi peluang mereka belajar dari satu sama lain.
Ia dianjurkan Pusat PERMATAPintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yayasan AlMalik Abdul-Aziz Untuk Kanak-kanak Pintar dan Berbakat (MAWHIBA) dan John Hopkins University (JHU).
Pelajar-pelajar itu boleh memilih salah satu dari tiga program yang dibimbing oleh guru dari JHU; Probability and Game Theory, Cryptology and Biotechnology.
Datin Seri Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri berkata masyarakat perlu boleh membantu mengenal pasti kanak-kanak pintar dan berbakat sejak kecil lagi.
Satu hal yang kurang di sedari ialah kanak-kanak pintar terpaksa berdepan dengan masalah menanggung beban emosi hingga kadang-kadang tidak dipedulikan langsung kerana salah faham.
Oleh kerana itu masyarakat perlu lebih prihatin terhadapnya dengan mewujudkan suasana, baik di rumah atau di sekolah, yang dapat membantu kanak-kanak itu menangani emosi mereka secara efektif.
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata PERMATAPintar terbukti telah mencapai kejayaan dan kini sedang menimbang untuk memberi peluang yang sama kepada kanak-kanak pintar di rantau ASEAN.
Suatu Memorandam Persetujuan (MoA) telah ditanda tangani oleh Pusat PERMATAPintar Negara dan MAWHIBA untuk membolehkan kedua-dua organisasi bekerjasama dalam usaha membangunkan kanak-kanak pintar mereka.
Ia ditandatangani Pengarah Pusat PERMATAPintar, Prof Dr Noriah Mohd Ishak dan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Wanita MAWHIBA, Dr Amal Al-Hazzaa. Turut Hadir Susanna Holmes mewakilili JHU, Para dekan dan pelajar.
Pengarah Institut Kajian Oksidental (IKON), Prof Madya Dr Rashila Ramli yang turut menyaksikan acara tandatangani MoA itu berkata program Permatapintar menyediakan ruang, suasana dan tunjuk ajar kepakaran membimbing pelajar itu mencapai potensi optimum mereka.
Dengan itu pelajar pintar tidak lagi akan terpinggir di dalam sistem persekolahan sekarang kerana kekurangan tenaga pengajar yang boleh mengesan kanak-kanak berbakat demikian.
Pengarah Institut Pengajian Perubahan Iklim, Prof Sharifah Mastura Syed Abdullah, berkata UKM berbangga dengan penyertaannya dalam usaha membimbing pelajar pintar itu.
Beliau bersetuju dengan pandangan Dr Amal Abdullah Al-Hazza bahawa bimbingan yang diberikan adalah dalam rangka membantu pelajar pintar dapat memberi sumbangan terbaik kepada masyarakat dan agama.