Seorang Doktor Baik Harus Sanggup Belajar Sepanjang Hayat
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 26 2012- Sesiapa yang mahu menjadi seorang doktor yang baik harus sanggup melakukan pembelajaran sepanjang hayat kerana penemuan baru perubatan berlaku dan dilaksanakan hampir setiap hari.
Perdana Menteri kelima, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semasa beliau mula menjadi doktor pemindahan organ dan pemintasan jantung tidak dapat dilakukan tetapi kini sudah menjadi pembedahan biasa.
Dengan penyelidikan lebih banyak perkara yang dianggap mustahil suatu ketika dahulu kini telah dapat dilakukan, katanya dalam majlis Bicara Bersama Tun Dr Mahathir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras hari in.
Beliau berkata apa yang dianggap mustahil suatu masa dahulu kini telah menjadi kenyataan hasil penyelidikan.
Oleh itu bagi seorang yang mahu menjadi doktor yang berkemampuan adalah penting baginya sanggup melengkapkan diri dengan maklumat terkini dalam bidang perubatan.
Para doktor juga patut menggunakan kemahiran mereka di luar bidang perubatan dan membantu masyarakat kerana mereka mempunyai kemahiran yang amat berkuasa tanpa mereka sedari, tambah beliau.
Doktor, katanya, dilatih untuk membuat diagnosis sesuatu masalah kesihatan dan kemudian mencari rawatan yang paling berkesan. Semasa krisis kewangan di Asia tidak berapa lama dahulu, beliau telah menggunakan kaedah diagnosis dan rawatan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi itu.
Kaedah yang sama boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengenal pasti masalah dan memastikan yang masalah tersebut adalah tepat dan bukanya disebabkan oleh hal-hal lain. Hanya selepas itu penyelesaian yang tepat dapat ditemui.
Sekiranya diagnosis yang dibuat adalah tidak tepat, penyelesaian sebaik mana sekali pun tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Dengan menggunakan kaedah ‘diagnosis and rawatan’ ini ia akan membolehkan seseorang yang menerima latihan perubatan melihat sesuatu masalah dengan cara yang berlainan dan lebih berkesan.
Beliau menyeru pelajar perubatan memilih kerjaya mereka atas asas yang betul. Kepuasan dalam kerja patut didahulukan dari penerimaan gaji dan ganjaran.
Sebagai seorang doktor seseorang itu terpaksa bekerja tanpa mengira waktu kerana sentiasa dikehendaki memberikan khidmat apabila diperlukan. Maka itu perasaan seseorang doctor yang dapat menyelamatkan nyawa seseorang di tengah malam misalnya tidak dapat dibeli.
Hadir di majlis itu adalah dekan Fakulti Perubatan, Dato’ Dr Raymond Azman Ali; Ketua Pengarah JASA, Dato’ Fuad Hassan; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Musa Hassan mantan ketua polis negara, pelajar dan para pengamal perubatan.