UKM Menangi Kejohanan Kriket Undangan Universiti Antarabangsa Kali ke-5

SELASA, 12 JUN 2012 14:26

Oleh Nur Azimah Mahmood
Foto Muhammad Izwan Azman

BAYUEMAS OVAL KLANG, 10 Jun 2012- Pasukan kriket Unversiti Kebangsaan Malaysia berjaya merampas kejuaraan Kejohanan Kriket Undangan Antarabangsa dari johan tahun lalu, University of Colombo, Sri Lanka yang berakhir di sini semalam.

Ia telah mengalahkan juara tahun lalu itu dengan 85 larian. Pasukan UKM mendapat 191 larian berbanding 106 di perolehi University of Colombo di perlawanan akhir kejohanan itu. Inilah kali kedua ia berjaya menjadi johan dalam lima tahun menganjurkan kejuaraan itu.

Ketua Kontijen UKM, Dr. Tajul Arifin Muhammad berpuas hati dengan prestasi pasukan UKM yang telah memperolehi kemenangan besar ke atas johan tahun lalu itu.

Beliau berkata kemenangan menunjukkan peningkatan kemahiran dan kematangan pemain yang sangat baik hasil persiapan yang rapi oleh pemain yang berlatih secara berterusan serta pengalaman bermain dengan pasukan kebangsaan Hong Kong yang berada dalam division kedua peringkat dunia sebagai persiapan terakhir.

Lima pasukan lain yang menyertai kejohanan selama tujuh hari itu ialah University of Liberal Arts, Bangladesh; Christ University, India; National University of Singapore; Siam University, Thailand dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kejuaraan kelima kriket itu dianjurkan UKM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

 
Dua orang pemain UKM, Syafiq Sharif diistiharkan sebagai pemain terbaik kejohanan manakala Mohd. Haziq Zainudin dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Pasukan UKM menerima hadiah wang tunai US$1500, piala kejohanan, trofi dan sijil. Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai US$1000 dan US$750, trofi dan sijil masing-masing.

Tempat ketiga disandang oleh pasukan dari University of Liberal Arts, Bangladesh manakala pasukan Christ University, India memenangi tempat keempat dan turut menerima trofi dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Pro-Canselor UKM,Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, yang juga Presiden Persatuan Kriket Melayu. Turut hadir di upacara penyampaian hadiah ialah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Dato’ Dr Mahmud Md. Nor; wakil Kementerian Pengajian Tinggi, Kaliapan Rajakumar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ir Dr Othman A. Karim yang juga Pengerusi Kejohanan.

Dr Tajul Ariffin berterima kasih dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang menaruh kepercayaan kepada UKM sebagai pusat kecemerlangan sukan kriket dan berharap untuk meningkatkan lagi prestasi sukan kriket UKM ke peringkat dunia.